Kit Siang Mahu Zahid Didakwa Bawah Akta Hasutan

lks (3)

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mahu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana memberi kenyataan menghasut ketika berucap di Pengkalan Kubor, Perak, baru-baru ini.

Kit Siang berkata, ucapan Ahmad Zahid yang mendakwa DAP menjadi dalang dalam krisis perlembagaan Perak pada 2009 merupakan satu kenyataan berbaur hasutan yang boleh mencetuskan pepecahan kaum di Negara ini.

Justeru itu, dia mencabar pihak berkuasa agar segera melakukan siasatan terhadap Ahmad Zahid dan menjatuhkan hukuman penjara seperti yang dikenakan kepada peguam utama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim,  N Surendren.

“Saya terkejut dengan ucapan tidak bertanggungjawab, penuh kebencian dan hasutan yang berdasarkan pembohongan serta kepalsuan.

“Dari apa yang diucapkan Zahid saya ingin bertanya, bolehkah dia memberi jaminan bahawa siasatan polis akan bermula terhadap dirinya sendiri ‘dalam masa 24 jam’ kerana melakukan kesalahan menghasut dan cuba membangkitkan kebencian kaum melalui pembohongan?,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam ucapan Ahmad Zahid yang dipetik menerusi Malay Mail Online, dia didakwa mengeluarkan kenyataan kepada penduduk di Pengkalan Kubor dengan mengaitkan DAP berhubung krisis perlembagaan negeri berkenaan pada tahun 2009.

 “Saya masih ingat semasa krisis Perak, mereka membantah (pengambilalihan BN) dan cuba menyekat pintu masuk pintu masuk bangunan negeri. Kamu tahu siapa yang berbaring di jalan? Semua orang Melayu.

“Di manakah orang-orang DAP? Mereka membaling batu ke arah Raja Muda…mereka juga membaling batu pada kereta saya. Saya berada di sana. Apabila mereka lakukan perkara ini, orang Melayulah yang telah berbaring di jalan raya,” kata Zahid dipetik Roketkini.com.

Sementara itu, Kit Siang menganggap sumpah yang dilafazkan Ahmad Zahid tidak memberi apa-apa makna sekirannya pihak berkuasa gagal mengambil tindakan terhadap Menteri Dalam Negeri itu kerana mengeluarkan kenyataan menyalahi Akta Hasutan 1948.

Tambah Kit Siang lagi, dia mencabar Ahmad Zahid supaya menjalankan siasatan terhadap dirinya serta beberapa pemimpin UMNO yang lain kerana kenyataan mereka sebelum ini turut dilihat boleh mengancam keselamatan penduduk di negarai ini.

“Adakah Zahid boleh bersumpah kepada Tuhan bahawa polis akan memulakan siasatan menggunakan Akta Hasutan ‘dalam masa 24 jam’ terhadap Menteri, pemimpin Umno termasuk dirinya sendiri?

“Sebagai contoh bekas Menteri Umno dan Pengerusi Umno Selangor Datuk Noh Omar mengugut untuk melakukan ‘pemberontakan’ dalam perhimpunan gabungan NGO Gerak Daulat di Shah Alam dua hari lalu.

“Bolehkah Zahid memastikan polis memulakan siasatan ‘dalam masa 24 jam’ jika terdapat laporan hasutan dikemukakan terhadap Noh Omar, atau memastikan siasatan terhadap Menteri Dalam Negeri sendiri?, soalnya lagi. – KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor