Konflik Syria: Orang Kedah Terbunuh, 5 Bekas Tahanan ISA Masih Di Sana

Lima bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikenal pasti antara 40 orang rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS) dalam kancah peperangan di Syria yang melibatkan perebutan kuasa dari pelbagai pihak di negara bergolak itu.

Kelima-lima bekas tahanan itu juga merupakan bekas ahli Kumpulan Mujahideen Malaysia (KMM), Zainuri Kamaruddin dan Rafi Udin bersama-sama dengan bekas anggota Jemaah Islamiah (JI), Samad Shukri dan Zid Saharani Mohamad Esa.

Bekas Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah, Mohd Lotfi Ariffin, 45, antara yang turut disenaraikan.

Menurut sumber lagi, Zainuri, Rafi dan Samad telah bertolak ke Syria pada 18 April lalu bersama-sama dengan pejuang jihad Zainan Harith yang juga dikenali sebagai Abu Turob, lelaki yang dilaporkan terbunuh baru-baru ini.

Terkini,  Mohammad Fadhlan Shahidi Mohammad Khir, 21, dari Kedah, telah dilaporkan terbunuh dalam peperangan di negara tersebut. 

Dia dikatakan telah dibunuh semasa cuba melarikan diri dari serangan tentera kerajaan Syria pada Selasa lalu.

"Zainan terbunuh dalam serangan di Syria dan tiga yang lain cedera parah. Pihak berkuasa percaya semua bekas tahanan ISA ini masih di Syria berjuang untuk kumpulan militan," kata sumber berkenaan yang dipetik dari Mstar.

Difahamkan bahawa kelima-lima mereka bersama-sama Zainan, amat dipengaruhi oleh ajaran puak pelampau sebelum ini.

"Boleh dikatakan bahawa perjuangan mereka di Syria adalah hampir sama antara satu sama lain. Mereka percaya bahawa boleh melakukan hampir semua cara untuk mencapai matlamat mereka dalam membela perjuangan mereka," kata sumber itu lagi.

Di Malaysia, mereka sering mengadakan mesyuarat yang digelar sebagai "Usra" di beberapa lokasi secara rawak bagi mengelakkan ia daripada dikesan pihak berkuasa.

"Usra ini termasuk merancang serangan dan rompakan bagi membiayai gerakan pelampau. Matlamat utama mereka adalah untuk mendapatkan senjata dan berjuang di Syria," kata sumber tersebut.

Hasil dari pemantauan, pihak berkuasa turut mengenal pasti beberapa lokasi "Usra" di Lembah Klang. 

Antara lokasi tersebut adalah Puchong, Shah Alam dan Puncak Alam di Klang.  -KedahNews.com