KONFLIK yang meletus di Syria sejak 2011 mengejutkan banyak pihak
kerana terdapat ramai umat Islam dari seluruh dunia termasuk Malaysia,
Amerika Syarikat (AS) dan Eropah pergi berjuang dan terkorban di sana.
Kebanyakan mereka ini menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS) dan
Jabhat al-Nusra yang merupakan serpihan daripada al-Qaeda.
Dianggarkan ribuan rakyat Eropah termasuk lebih 100 rakyat AS, 500
rakyat Britain dan beratus-ratus rakyat Perancis menyertai kumpulan
militan berperang di Syria.
Mereka ini dikatakan pergi berperang di sana kerana ingin memerangi
kerajaan Syiah Syria yang didakwa menzalimi golongan Sunni serta mahu
mati syahid. Sebahagian besar daripada mereka ini pergi berperang tanpa
pengetahuan keluarga dan penglibatan mereka dalam kumpulan militan hanya
diketahui menerusi status dalam media sosial.
Pancarwarna minggu ini melihat kepada penglibatan rakyat Malaysia
dan Eropah dalam konflik di negara bergolak itu serta status peperangan
itu dari sudut agama.
Syahid atau mati katak?
SEHIGGA kini, status perjuangan umat Islam yang pergi berjuang
menentang kerajaan Syria boleh dikatakan sebagai jihad dan kematian
mereka yang terkorban dianggap syahid masih tidak jelas.
Walaupun peperangan tersebut dikatakan antara golongan Sunni dan
Syiah, ramai menganggap ia sebenarnya perang saudara sesama umat Islam.
Apatah lagi, kumpulan-kumpulan pejuang kini bukan hanya berperang dengan
kerajaan Syria, malah sesama mereka sendiri.
Tindakan ganas mereka seperti memenggal leher musuh, menzalimi mayat
dan merogol membuatkan ramai mempersoalkan sama ada mereka ini
benar-benar berjihad. Apatah lagi, mereka bukan hanya bertindak ganas
terhadap golongan Syiah, malah kepada golongan Sunni sendiri.
Lagipun, tidak ada satu kerajaan Islam pun mengisytiharkan
peperangan dan membenarkan rakyatnya pergi berperang ke Syria atas nama
jihad.
Tokoh-tokoh agama di Malaysia berpendapat bahawa umat Islam di
negara ini perlu melihat jihad dalam pengertian lebih luas dan bukan
hanya sekadar berperang mengangkat senjata.
Menurut mereka, jihad yang lebih utama ialah memenuhi tanggungjawab
kepada ibu bapa serta negara terutamanya dalam meningkatkan ekonomi umat
Islam yang masih jauh ketinggalan.
Mereka juga menyatakan bahawa umat Islam yang mahu pergi berjuang di
Syria perlu mengesahkan sama ada berperang di negara berkenaan
merupakan jihad serta perlu mendapat keizinan daripada ibu bapa dan
pemerintah negara sebelum pergi ke sana.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria misalnya, berkata, berjihad
di dalam negara adalah wajib diutamakan dan berdakwah di sini juga
adalah jihad yang amat dituntut. Penasihat Majlis Agama Islam Johor,
Datuk Nooh Gadut pula menyatakan, satu hadis Rasulullah SAW menyebut
bahawa barang siapa menyertai perbalahan antara dua kumpulan Islam,
kedua-dua pihak yang membunuh dan terbunuh akan masuk neraka.
Pejuang dari Malaysia
Abu Faz
SEORANG rakyat Malaysia yang dikenali sebagai Abu Faz, 20-an,
dipercayai rakyat Malaysia pertama yang terkorban dalam pertempuran di
Syria.
Pemuda tersebut maut selepas terkena tembakan penembak tepat dalam
satu pertempuran dengan tentera kerajaan Syria di Damsyik pada 11 Mei
lalu.
Menurut sumber keselamatan, Abu Faz yang belum dikenal pasti identiti
sebenarnya pergi berjuang di negara tersebut bersama-sama Akel Zainal
yang merupakan bekas pemuzik sebuah kumpulan rock terkenal tanah air
pada 1990-an sejak tahun lalu.
Mohamad Fadlan& ustaz Lotfi
SEORANG pemuda Malaysia, Mohamad Fadlan Shahidi, 21, atau lebih
dikenali sebagai Abu Muhajir, terkorban selepas dibedil jet pejuang
tentera Syria dalam satu pertempuran di wilayah Hama pada 9 September
lalu.
Lima lagi rakyat Malaysia yang turut berjuang di Syria termasuk
bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohd. Lotfi Ariffin dan seorang yang
dikenali sebagai Abu Afghan serta tiga lagi yang belum dikenal pasti
cedera parah dalam pertempuran tersebut.
Mohd. Lotfi yang mendapat panggilan 'ustaz' dikatakan dalam keadaan
kritikal dan tidak sedarkan diri. Mohd. Lotfi yang berasal dari Baling,
Kedah, sebelum ini sering memuat naik status dan klip video tentang
penglibatannya di Syria ke laman media sosial.
Beliau dipecat daripada Pas pada 11 Mei kerana terlibat dalam kegiatan militan di Syria.
Pejuang dari Barat
Deso Dogg
Bekas penyanyi rap Jerman, Deso Dogg atau nama sebenarnya Denis
Mamadou Gerhard Cuspert, 39, maut dalam dua serangan berani mati oleh
Jabhat al-Nusra di timur Syria pada 20 April lalu.
Dogg dikenali sebagai Abu Talha al-Almani di Syria. Almani dalam bahasa Arab bermaksud Jerman.
Semasa bergelar artis, Dogg menghasilkan tiga buah album iaitu
Schwarzer Engel (2006), Geeni'z in collaboration with Jasha (2008) dan
Alle Augen auf mich (2009). Selepas memeluk Islam, Dogg tidak lagi aktif
dalam dunia hiburan dan menukar namanya kepada Abou Maleeq.
Selain Dogg, lebih 15 rakyat Jerman yang menyertai IS termasuk
seorang remaja berusia 19 tahun, David G. yang dikenali sebagai Abu
Dawud al-Almani, dilaporkan telah terkorban dalam konflik di Syria.
Andre poulin
ABU Muslim al-Canadi atau nama sebenarnya Andre Poulin, 24, merupakan
seorang rakyat Kanada yang memeluk Islam. Dia menyertai IS berjuang di
Syria pada 2012 dan dilaporkan terkorban selepas ditembak oleh penembak
tepat pada 2013. Dia meninggalkan seorang isteri dan anak kecil di
Syria.
Sebelum berjuang di Syrian, Poulin yang berasal dari Timmons,
Ontario, bekerja sebagai penyelenggara bangunan dengan pendapatan yang
agak baik di negaranya. Namun, Poulin dikatakan tidak gembira tinggal di
negara bukan Islam.
Dalam satu dokumentari, Poulin menyatakan keluarganya gembira kerana
dia menemui jalannya dan melakukan apa yang disukainya iaitu menolong
orang tetapi pada masa sama mereka tidak memahami tujuan dia berada di
Syria.
Ketika berusia 20 tahun, Poulin membentuk satu personaliti diri,
menggelarkan dirinya sebagai `Uncle Umar' dan tanda tangannya dalam
bahasa Arab bermaksud: "Syahid,
Insya-Allah".
Douglas McCain
Rakyat AS, Douglas McAuthur McCain, 33, dilaporkan terbunuh dalam
pertempuran di Syria pada 24 Ogos lalu. Dia dipercayai menyertai
kumpulan IS dan terkorban selepas bertempur dengan kumpulan militan lain
di negara berkenaan.
Menurut rakannya, McCain yang meminati muzik rap dan bola keranjang
dipercayai pergi berjuang di Syria kerana ingin melakukan sesuatu yang
bermakna dalam hidupnya. Penglibatannya dalam kumpulan IS mengejutkan
ramai ahli keluarga dan rakannya kerana dia merupakan seorang yang
merendah diri dan penyayang. Tambahan, keluarganya menyangkakan McCain
berada di Turki.
McCain dilahirkan di Illinois dan dibesarkan Minneapolis. Dia pernah
disabitkan dengan kesalahan mencuri, memiliki dadah dan memandu selepas
lesennya dibatalkan. McCain memeluk Islam pada 2004 selepas bergaul
dengan komuniti Islam Somalia yang ramai menetap di Minneapolis.
Sebelum ini, dua lagi rakyat AS, Nicole Lynn Mansfield, 33, dan
Moner Mohammad Abu-Salha, 22, terbunuh dalam konflik di Syria. Mansfield
yang memeluk Islam terbunuh pada Mei 2013 ketika cuba menyerang tentera
Syria manakala Moner memandu trak yang membawa bahan letupan ke dalam
restoran yang dipenuhi tentera Syria sehingga membunuh 37 orang pada 25
Mei lalu.
-Utusan