PENGKALAN KUBOR - PAS
menafikan dakwaan bahawa parti itu bakal mengadakan konsert di Pengkalan
Kubor sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN)
tersebut seperti yang tertera pada poster 'Konsert Amal Darul Naim'.
Timbalan Pengarah Jawatankuasa Operasi Pilihan Raya Kecil (PRK)
Pengkalan Kubor, Mohd Zaki Ibrahim berkata, poster yang telah tersebar
di laman sosial itu mendakwa PAS akan mengadakan konsert amal pada malam
20 September bertempat di Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Geting, di
sini.
"Ramai di kalangan ahli kita yang menerima poster menggunakan lambang
PAS, kononnya PAS anjur konsert amal menampilkan penyanyi seperti Abby
Abadi, Dayangku Intan dan Aishah malam Sabtu (esok) melalui WatsApp dan
Facebook. Saya sendiri terima mesej itu.
"Kita tidak pernah menganjurkan acara seperti itu dan meminta supaya
orang ramai tidak mudah terpedaya dengan kempen berniat jahat seperti
ini," katanya ketika dihubungi mStar Online, Jumaat.
Beliau berkata poster tersebut disedari tersebar di media sosial kira-kira dua hari lalu.
"Poster itu menunjukkan kononnya PAS menjemput penyanyi Abby Abadi, Dayangku Intan dan Aishah untuk konsert amal," katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelaboran mendakwa
perbuatan tersebut dilakukan oleh musuh politik mereka iaitu iaitu
Barisan Nasional (BN).
Dakwanya, BN sengaja menyebarkan poster tersebut sebagai dakyah untuk
memburukkan PAS kerana parti itu bakal menganjurkan forum perdana pada
malam Sabtu (20 September) di lokasi sama.
Forum agama tersebut menampilkan penceramah terkenal Ustaz Kazim Elias.
"BN ada program agama di SMK Geting, tetapi kononnya PAS anjur
konsert. Mustahil PAS boleh 'masuk' buat majlis di sekolah di bawah
kerajaan Persekutuan.
"Mereka seolah-olah mahu orang ramai buat perbandingan bahawa BN
anjur majlis keagamaan untuk berkempen tetapi PAS anjur majlis hiburan,"
jelasnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, PAS tidak berhasrat mengambil tindakan
selagi tiada poster dicetak atau digantung di mana-mana kawasan di
Pengkalan Kubor.
Sementara itu, petugas di Markas BN Pengkalan Kubor ketika dihubungi
mengesahkan bahawa forum perdana akan diadakan di SMK Geting pada malam
Sabtu. -Mstar