Alor Setar, 7 September – Ketua Polis
Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim meminta masyarakat bekerjasama dengan pihak polis
dalam membanteras sindiket gores dan menang yang semakin berleluasa di negeri
ini.
Ahmad berkata, daripada siasatan
yang dibuat mendapati sindiket ini sering berpindah-pindah tempat bagi mengelak
dikesan oleh pihak berkuasa.
"Kita memang melakukan
tangkapan terhadap anggota sindiket ini selepas menerima aduan, tetapi kita
tidak boleh memantau secara 24 jam kerana mereka sentiasa bergerak untuk mencari
mangsa.
"Jadi di sini saya minta
masyarakat supaya menghubungi pihak polis dengan segera kerana sekiranya mereka
hanya berdiam diri, pihak polis tidak tahu di mana mereka berada dan tindakan
tidak boleh diambil," katanya dipetik Bernama pada program High Profile
Community Policing di Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Janggus semalam.
Menurut Ahmad lagi, pihaknya akan
sentiasa memantau pergerakan sindiket tersebut dan akan mengambil tindakan
segera bagi melumpuhkan kegiatan mereka.
Sebelum ini, Persatuan Kedah
(CAKE) mendakwa 20 orang telah mengalami kerugian bernilai RM500,000 sejak
julai lalu akibat ditipu sindiket tersebut yang bergerak aktif di sekitar
negeri ini. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor