Krisis MB Selangor: ''ADUN Derhaka'' Cabar Hadi Awang Kemuka Bukti


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib mencabar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menunjukkan bukti beliau telah dibeli oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) semata-mata untuk menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar (MB) Selangor yang baharu.

“Tunjukkan bukti dahulu,” kata Saari yang dipetik dari laman Mstar.com.my.

Hadi dalam ucapan penggulungannya pada Sabtu mendakwa sekutunya dalam Pakatan Rakyat iaitu PKR telah ‘membeli’ dua Adun PAS demi mendapatkan sokongan majoriti untuk menjadikan Dr Wan Azizah sebagai menteri besar.

Saari mendakwa, akuan bersumpah (SD) yang ditandatanganinya itu adalah semata-mata untuk menafikan sokongannya terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk kekal sebagai Menteri Besar.

“Khalid dakwa beliau mempunyai sokongan majoriti, dan dia mula memecat ahli Exco. Bagaimanapun, Khalid tidak mengadakan rundingan dengan mana-mana Adun bagi mengetahui sama ada mereka menyokong beliau atau sebaliknya,

“Matlamat ketika itu adalah menafikan apa yang dilakukan Khalid. Bagaimanapun, peguam menerangkan bahawa Dewan Undangan Negeri memerlukan sokongan daripada seorang lagi calon bagi mengesahkan SD berkenaan, jadi kami menyatakan sokongan kepada Dr Wan Azizah kerana PKR dan DAP telah bersetuju dengan pencalonan beliau,” ujar Saari.

Beliau menegaskan kesilapan yang dilakukannya hanyalah demi menyelamatkan kedudukan Pakatan Rakyat di Selangor dan membidas PAS kerana membenarkan ahli parti mencaci dan menghina beliau tanpa mengetahui kisah sebenar.

“Ramai sarjana Islam dalam parti, namun mereka membenarkan usul untuk mengutuk tindakan saya, perenggan mana dalam Perlembagaan parti membenarkan hukuman dijatuhkan sebelum perbicaraan dijalankan. Adakah ini sebuah parti Islam?

“Di Muktamar, pengerusi tetap tidak campur tangan apabila ada perkwakilan yang memohon doa daripada Allah agar perkara buruk berlaku ke atas saya. Ini benar-benar memalukan parti,” tambahnya.

Saari dan ADUN Morib, Hasnul Baharuddin merupakan dua Adun PAS yang telah menandatangani SD bagi menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Dr Wan Azizah pada 14 Ogos lalu, tiga hari sebelum PAS membuat kenyataan rasmi mengenai krisis menteri besar Selangor. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com