Krisis MB Selangor: Iskandar Abdul Samad Nafi Dipanggil Mengadap Sultan

Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Abdul Samad berkata, dirinya mempengerusikan sesi pendengaran awam di Majlis Daerah Kuala Langat sehingga petang ini. – Gambar fail The Malaysian Insider, 8 September, 2014.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad hari ini menafikan dakwaan kononnya beliau dipanggil untuk menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pencalonan sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Iskandar berkata, pada masa ini beliau tidak dimaklumkan mengenai perkara itu oleh mana-mana pihak termasuk pihak istana Selangor.

"Tiada (tidak diminta untuk menghadap)...esok tak ada, lusa tak ada, minggu depan pun tak ada," katanya yang dipetik dari laman Bernama.com.

Laman The Malaysian Insider sebelum ini melaporkan bahawa tiga anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor daripada PAS dipanggil untuk menghadap Sultan Selangor dengan menamakan mereka sebagai Iskandar, Sallehen Mukhyi dan Ahmad Yunus Hairi.

Ketiga-tiga Anggota Exco itu didakwa dipanggil menghadap berikutan nama mereka disenaraikan sebagai calon Menteri Besar yang baharu oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi menggantikan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Abdul Khalid dipecat daripada PKR selepas beliau enggan mengikut keputusan parti dan Pakatan Rakyat untuk berundur bagi membuka jalan kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengambil alih jawatan ketua eksekutif negeri.

Khamis lepas, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali mengesahkan Abdul Hadi telah menghantar tiga nama kepada istana untuk dipertimbangkan bagi jawatan menteri besar.

Mustafa berkata ketiga-tiga nama itu dihantar bagi menghormati titah Sultan Selangor yang meminta supaya semua parti dalam Pakatan Rakyat mengemukakan lebih daripada dua nama untuk dipertimbangkan sebagai calon menteri besar Selangor yang baharu. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com