Krisis MB Selangor: NGO Wanita Pertikai Titah Sultan


Gabungan pertubuhan wanita, Empower, mempersoal titah Sultan Selangor yang mahu Pakatan Rakyat (PR) menghantar lebih daripada dua nama bagi jawatan Menteri Besar akan mengundang tanggapan yang salah mengenai wanita mengetuai pejabat awam, .

Kata mereka, dalam keadaan kekurangan ketara penjawat wanita di peringkat pembuat keputusan di seluruh negara, ia akan mengukuhkan persepsi bahawa adalah luar biasa bagi wanita menduduki pejabat awam.

"Pada hakikatnya, perlembagaan negeri adalah neutral dalam hal ini," menurut kenyataan Empower yang ditandatangani bersama Persatuan Bertindak Wanita (Awam), Wanita Untuk Wanita Perak (PWW) dan Sisters in Islam (SIS).

Mereka berkata ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sudah pun memperoleh sokongan majoriti DUN Selangor yang melayakkannya memegang jawatan nombor satu kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Selasa lepas menitahkan setiap parti dalam PR menghantar lebih daripada dua nama kepada istana sebelum 3 September ini.

"Wanita yang memilih untuk menceburi bidang politik selalu berdepan isu seksis dan diberi standard yang lebih tinggi. Mereka selalunya perlu membuktikan potensi mereka di luar kebiasaan.

"Malah, kaum lelaki yang mempunyai pengalaman yang sama tidak dipersoalkan kelayakan mereka.", kata kumpulan itu yang dipetik dari laman Malaysian Insider.

Ini juga adalah disebabkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membantah Dr Wan Azizah menjadi MB atas dasar agama dan kelayakan. ‎

Parti Islam itu akan menghantar lebih daripada satu nama kepada Sultan yang sama sekali bertentangan dengan keputusan Majlis Pimpinan PR mencalonkan hanya Dr Wan Azizah.

Sehubungan itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis lalu mempertikai keputusan PAS yang sebelum ini memuktamadkan pendirian untuk menolak wanita sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.
‎‎
Empower melahirkan rasa kesal kerana walaupun Dr Wan Azizah disokong 30 daripada 56 Adun, beliau masih belum menjadi menteri besar.

"Adakah patut calon yang tidak mendapat sokongan majoriti dilantik sebagai menteri besar?
"Ini akan meruntuhkan proses demokrasi yang didukung DUN dan kerajaan negeri."‎ kata pertubuhan itu membantah keputusan PAS.

Dalam perkembangan lain, Empower juga melahirkan rasa kurang senang terhadap penggunaan Akta Hasutan bagi mendiamkan kritikan.

"Pada 2012, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berjanji akta itu akan dimansuhkan.

"Bagaimanapun, statistik Suaram menunjukkan bilangan tuduhan dan penyiasatan di bawah akta itu bertambah pada 2013 - 15 kes berbanding 7 pada 2012," katanya, merujuk dakwaan pertubuhan hak asasi manusia, Suaram.

Akta Hasutan baru-baru ini digunakan ke atas pemimpin pembangkang termasuk dua Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan N. Surendran, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Adun Seri Delima, RSN Rayer. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com