Krisis MB Selangor: PKR Bincang Nama Selain Wan Azizah Petang Ini


Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan bermesyuarat petang ini bagi membincangkan maklum balas kepada surat daripada Sultan Selangor yang difahamkan meminta lebih dua nama selain Presiden parti itu, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor.

Menurut sumber dalaman PKR, jemputan yang dihantar Setiausaha Pengelola PKR, Radin Shamsul Kamar melalui aplikasi WhatsApp itu mahu penerima mengesahkan kehadiran untuk menghadiri mesyuarat berkenaan.

"Mesyuarat akan diadakan pada pukul 5.30 petang di ibu pejabat. Jemputan dihantar kepada ahli biro politik PKR sesi 2014/2017 dan memerlukan pengesahan penerimaan untuk kehadiran.

"Pastinya perbincangan tertumpu kepada nama lain selain Wan Azizah untuk dihantar ke istana. Sedia maklum semalam PKR menerima surat yang meminta beberapa nama lagi sebagai calon menteri besar," kata sumber itu yang dipetik dari laman Astroawani.com.


Sementara itu, seorang pemimpin kanan PKR turut mengesahkan menerima jemputan sama untuk menghadiri mesyuarat tersebut.

Beliau yang enggan dikenali membayangkan mesyuarat itu dipanggil untuk membincangkan surat daripada istana tersebut. 

Pada Rabu, PKR mengesahkan menerima surat jawapan daripada pihak istana berhubung isu pelantikan menteri besar Selangor.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, antara lain isi kandungan surat pihak istana itu memperingatkan agar lebih daripada dua nama dikemukakan kepada Sultan Selangor selain memaklumkan tidak ada penolakan terhadap nama Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor.

Bagaimanapun tidak lama kemudian, Pengarah Komunikasi Keadilan, Fahmi Fadzil mengeluarkan kenyataan media memaklumkan kenyataan itu belum dimuktamadkan dan ditarik balik.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Rabu meminta semua pihak bersabar dan membenarkan proses pertukaran menteri besar dijalankan mengikut Tatacara Undang-undang Tubuh Negeri serta Adat Istiadat Negeri Selangor.

Abdul Khalid turut memberitahu, pihak istana juga tidak memaklumkannya mengenai tempoh masa bagi membuat keputusan berhubung pemilihan calon menteri besar yang baharu. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com