Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail enggan mendedahkan kandungan surat kedua yang dihantar parti itu kepada Istana Selangor pada Selasa lepas.
Beliau juga enggan menyebut sama ada nama calon lain disertakan dalam surat itu bagi jawatan Menteri Besar Selangor yang baharu.
"Kita tunggu dahulu, hari ini separuh hari, kan? Kita tunggu respon Istana,
"Hari ini saya jumpa (anggota PKR Kuala Selangor) selepas pemilihan parti bersama-sama (Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Ijok) Dr Idris Ahmad, (bekas Exco kerajaan Selangor) Elizabeth Wong, (Anggota Parlimen Subang) R. Sivarasa dan Anggota Parlimen Ampang (Zuraida Kamaruddin)," kata Wan Azizah yang dipetik dari laman Astroawani.com.
Selasa lepas, PKR dan DAP masing-masing menyerahkan sepucuk surat kepada Istana Selangor susulan kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap tindakan kedua-dua parti itu yang hanya mengemukakan satu nama iaitu Dr Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar baharu.
Selain menghantar surat kedua itu, pada hari yang sama PKR dan DAP mengeluarkan kenyataan memohon maaf secara terbuka kepada Sultan Selangor.
Namun begitu, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng tetap mempertahankan tindakan kedua-dua parti itu berhubung calon mereka bagi jawatan Menteri Besar Selangor. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com