Krisis Pakatan Rakyat Di Selangor, Zuraida Salahkan Abdul Hadi

Zuraida Kamaruddin

Shah Alam – Ketua Wanita Parti Pakatan Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin menyifatkan tindakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengeluarkan kenyataan menolak pelantikan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor menyebabkan krisis di negeri berkenaan menjadi semakin teruk.

Zuraida berkata, jika Abdul Hadi menyatakan pendirian awal mengenai rasa tidak yakin mereka kepada Presiden PKR itu dilantik menjadi Menteri Besar Selangor, kemelut tersebut pasti tidak menjadi sebegini parah.

"Sebelum ini, kita ada perbincangan bukannya pemilihan Azizah (Dr Wan Azizah) hanya dibuat sebelah pihak sahaja.

"Kenapa tidak suarakan dalam mesyuarat yang kita adakan. Kenapa sekarang baharu beritahu alasan tersebut. Kalau beritahu lebih awal mungkin kita boleh pertimbangkan," katanya dipetik Sinar Harian.

Menurut Zuraida lagi, sikap Abdul Hadi yang berdiam diri sebelum ini akan mendatangkan kesan buruk kepada Pakatan Rakyat.


"Saya mahu ingatkan beliau supaya tidak berdolak-dalik lagi, keadaan sekarang seolah-olah semakin teruk.

"Keadaan sekarang sudah kelam kabut, jadi pelbagai tohmahan diberikan kepada PR itu sendiri," katanya lagi.


Kenyataan Zuraida itu jelas menunjukkan dia menyalahkan Presiden PAS terhadap kemelut yang berlaku di Selangor dalam memnentukan calon bagi jawatan Menetri besar Baharu di negeri berkenaan. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor