Lacur Isteri Di Hotel Bajet Sejam RM50


Seorang suami sanggup membiarkan isterinya menjadi pelacur dengan bayaran serendah RM50 untuk satu jam di hotel bajet di Jalan Pasar, Kuantan.

Tindakan jijik itu terbongkar apabila wanita berusia 18 tahun yang mempunyai seorang anak lelaki berusia tiga bulan ditahan bersama 18 pelacur tempatan oleh pasukan anggota polis daripada Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, kira-kira jam 10.30 malam, kelmarin.

Menurut Hmetro.com.my, wanita itu yang berasal dari Kuala Terengganu dan telah mendirikan rumah tangga sejak setahun lalu,.

Wanita itu mendakwa, dia terpaksa melakukan perbuatan keji itu kerana mahu menyara keluarga selepas suaminya yang berusia lingkungan 20 tahun tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Dengan hasil pendapatan haram itu, wanita terbabit memberikan wang kepada suaminya yang tinggal di sebuah bilik sewa di bandar ini bagi membeli barang keperluan dapur termasuk susu anak sebelum dia kembali semula ke markas pelacuran di Jalan Pasar itu.

Pegawai Turus D7 IPK Pahang, Asisten Superintendan Azlihan Ishak berkata, siasatan awal mendapati, wanita itu mendakwa terpaksa berhijrah ke bandar ini dari kampung halaman selepas suaminya gagal mendapatkan pekerjaan tetap.

“Siasatan mendapati dia dikesan melakukan perbuatan jijik itu sejak dua tahun lalu dan mengenakan bayaran serendah RM50 kepada pelanggan,” katanya. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com