Langkah Kajang, Langkah Sumbang - Pemuda PAS


Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Khairil Nizam Khirudin, mendakwa gerakan "Langkah Kajang" yang diilhamkan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dengan restu Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai satu langkah yang sangat "sumbang".

Menurutnya, "Langkah Kajang" telah kononnya dicatur untuk kebaikan Pakatan Rakyat telah bertukar menjadi "mimpi ngeri" yang bakal meranapkan gabungan tiga parti pembangkang itu dan seolah-olah menghina semangat setiakawan yang dihulurkan PAS.

"Langkah Kajang yang dicatur jelas merapuhkan keutuhan Pakatan Rakyat dan menghakis semangat setiakawan yang dihulurkan oleh PAS," katanya yang dipetik dari laman rasmi PAS, Harakahdaily.

Kata Khairil Nizam, ekoran sumbangnya Langkah Kajang itu, PAS terpaka berkali-kali disusahkan dengan pelbagai kerenah dan perkara yang tidak dipersetujui, termasuk tujuan sebenar gerakan itu untuk menjatuhkan atau menukar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Katanya lagi, PAS tidak pernah bersetuju dengan niat sumbang itu, namun ia tetap diteruskan PKR tanpa mengira atau mengambil peduli tentang pendirian rakan sekutu yang sama-sama membentuk Kerajaan Negeri Selangor.

Selain itu, Khairil turut memuji tindakan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang jelas faham, matang dan bijak dalam mematuhi titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berbanding PKR dan "sahabat baik"nya, DAP, yang mengundang murka pihak Istana Kayangan.

Justeru itu, Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan itu mahu Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad mengakui bahawa PKR dan Langkah Kajang kini merupakan satu "liabiliti" bagi Pakatan Rakyat.

Khairil juga yakin bahawa kemelut dan huru-hara di dalam Pakatan Rakyat yang sangat memalukan itu bakal mengambil masa yang lama untuk diselesaikan.

Berikut adalah kenyataan penuh Khairil Nizam:
SAYA menggesa supaya Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad merujuk terlebih dahulu punca krisis Menteri Besar Selangor yang bermula daripada Langkah Kajang sebelum membuat kesimpulan melulu terhadap kewibawaan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Langkah Kajang yang dicatur jelas merapuhkan keutuhan Pakatan Rakyat dan menghakis semangat setiakawan yang dihulurkan oleh PAS.

Walaupun PAS telah menyatakan pendirian bahawa Langkah Kajang tidak berkaitan untuk menukar Menteri Besar Selangor, namun jelas pada tarikh 21 Julai 2014, PKR telah mengumumkan YB Datuk Seri Dr Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar yang baru. Sila rujuk juga kenyataan Presiden PKR yang disiarkan oleh laman berita Astro Awani bertarikh 5 Ogos 2014.

“Kita merancang strategi ‘Langkah Kajang’ untuk membolehkan Anwar menjadi ahli dewan undangan negeri dan kemudiannya Menteri Besar tetapi telah digagalkan oleh kerajaan Barisan Nasional,”

“Jawatan Menteri Besar sememangnya untuk Anwar pada awalnya, saya tidak akan teragak-agak untuk menjadikan beliau sebagai penasihat sekiranya saya menjadi Menteri Besar,”

Tindakan PKR tersebut memaksa PAS untuk mengadakan mesyuarat di peringkat Majlis Syura Ulamak dan membuat keputusan untuk mengekalkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor. Kemudian, apabila beliau dipecat pada tarikh 9 Ogos 2014, PAS sekali lagi terpaksa bermesyuarat pada 17 Ogos 2014 untuk membuat pencalonan baru kerana Tan Sri Khalid Ibrahim sudah hilang kelayakan asas untuk menjadi Menteri Besar Selangor.

Mengambil kira keputusan PKR (21 Julai 2014), pemecatan Tan Sri Khalid Ibrahim, pihak istana dan perspektif Islam, Presiden PAS turut menamakan Azmin Ali untuk jawatan itu selain daripada Wan Azizah. Secara tidak langsung dan diamati dengan cermat, ia menzahirkan pendirian PAS dalam menentukan pemimpin utama untuk mentadbir sebuah kerajaan yang mesti seseorang individu yang berkebolehan, berkelayakan dan memiliki ciri-ciri kepimpinan tertentu.

Isu ini berlanjutan dan sehinggalah pada tarikh 27 Ogos pihak istana meminta setiap pemimpin parti menamakan lebih dua nama untuk dipertimbangkan oleh Sultan Selangor bagi mengisi jawatan Menteri Besar. Perkara tersebut telah dipenuhi oleh Presiden PAS dan ia sekali lagi menunjukkan sikap matang dan bijak.

Saya berpendapat, Nik Nazmi memulakan langkah sumbang sebagai Ketua AMK yang baru. Beliau harus akur bahawa liabiliti politik yang berlaku pada hari ini di Selangor menimbulkan kegusaran di peringkat akar umbi. Saya menjangkakan kita akan mengambil tempoh masa yang lebih lama untuk memulihkan sokongan kepada Pakatan Rakyat.
Khairil Nizam Khirudin - Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan