Lelaki Bangladesh Nyaris Maut Ditetak Di Kepala


Seorang lelaki warga Bangladesh nyaris maut selepas ditetak di kepala dan leher dalam kejadian di Taman Metropolitan Batu, Kepong, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 7.25 pagi itu, mangsa berusia 30-an dipercayai ditetak dengan parang oleh beberapa lelaki sebelum ditemui orang awam yang berjoging di kawasan taman berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, mangsa ditemui dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah.

Munusamy berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipukul terlebih dulu sebelum ditetak menggunakan senjata tajam di beberapa anggota badannya.

Mangsa yang cedera parah di leher, kepala, kaki dan tangan kiri dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan kecemasan.

Kami belum memperoleh sebarang maklumat daripada mangsa sehingga kini dan siasatan awal di lokasi kejadian juga gagal menemui senjata yang digunakan untuk menetak mangsa,” katanya yang dipetik dari laman Hmetro.com.my.

Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan, tegas Munusamy. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com