Kuala Lumpur - Seorang pengurus projek mengaku tidak bersalah di
Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menyiarkan komen mengaibkan dan
membangkitkan kemarahan terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu
Bakar, anggota serta pegawai Polis Diraja Malaysia melalui akaun Twitter
miliknya, pada Hari Merdeka lalu.
Tertuduh Wong Hoi Cheng, 43, membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Abdul Rashid Daud.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu dengan
sengaja melalui laman Twitter http://twitter.com/wonghoicheng dengan
mengetahui bangkitan marah itu akan memecahkan keamanan awam.
Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
WONG (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Jalan Duta atas pertuduhan menyiarkan komen yang membangkitkan kemarahan terhadap Ketua Polis Negara di akaun twitter miliknya pada 31 Ogos yang lalu. |
Dia juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan alternatif iaitu menghantar komen jelik kepada Khalid.
Lelaki itu didakwa telah menggunakan akaun Twitter yang sama secara sedar melakukan perbuatan itu kepada Khalid melalui pautan @KBAB51 dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Perbuatan itu dilakukan di Restoran Mcdonald, Midvalley dekat sini pada jam 2 petang 31 Ogos 2014.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Arafas Abdul Razak.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Oktober ini untuk sebutan. -myMetro