ALOR SETAR 19 Sept. - Seorang lelaki ditahan kerana mengamuk
menggunakan pisau dan besi di hadapan sebuah hotel di Jalan Pintu
Sepuluh di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Adzaman Mohd. Jan berkata, suspek
berusia lingkungan 40-an itu ditahan di hadapan hotel tersebut tengah
hari tadi.
Beliau berkata, pihak polis pada mulanya menerima maklumat mengenai kejadian amuk di hadapan kedai makan di Mergong Indah.
Namun suspek kemudiannya dikesan di hadapan sebuah hotel, tetapi
kemudian melarikan diri dengan memandu kereta secara agresif di sekitar
Jalan Putra, Jalan Gangsa dan Jalan Suka Menanti," katanya kepada
pemberita.
Beliau berkata, pihak polis kemudiannya menerima panggilan daripada
seorang wanita yang mendakwa dia isteri kepada suspek dan menyatakan
suaminya itu kurang siuman.
Adzaman berkata suspek kemudiannya didapati memberhentikan keretanya
di hadapan hotel yang sama dan bertindak menyerang polis dengan batang
besi dan pisau apabila diminta menyerah diri.
Suspek kemudiannya dihantar hospital psikiatri untuk diperiksa.- BERNAMA