Seorang lelaki dari bandar Riga, Latvia berjaya memperoleh lesen memandu walaupun dia tidak mempunyai kedua-dua belah tangan dan terpaksa memandu dengan menggunakan kaki, kelmarin.
Lebih menakjubkan lagi, lelaki tersebut, Gatis Caunitis, lulus ujian lesen memandu dalam cubaan yang pertama, lapor Dailymail.co.uk.
Caunitis kehilangan kedua-dua belah tangannya akibat terkena renjatan elektrik ketika berusia enam tahun dan sejak itu dia menggunakan kakinya untuk melakukan semua tugas termasuk memandu kereta.
Walaupun cacat, Caunitis mampu memandu kereta transmisi automatik dengan baik dan lebih selamat berbanding pemandu normal.
Caunitis berkata, pengajar di sekolah memandu tidak terkejut apabila kali pertama melihat keadaan dirinya dan pengajar tersebut sering memberi kata-kata semangat kepadanya.
“Pengajar itu memberitahu saya, dia kagum melihat kecekapan saya memandu kereta walaupun saya hanya menggunakan kaki.
“Saya lulus ujian teori dan praktikal dalam cubaan yang pertama,” katanya. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com