LFL Dakwa Anwar Tak dapat Keadilan Dalam Perbicaraan Di Malaysia?


Kuala Lumpur – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa penahan peguam N Surendran oleh Mahkamah Tinggi atas tuduhan Akta Hasutan membuktikan dirinya tidak medapat keadilan yang sepatutnya dalam perbicaraan berhubung kes liwatnya di negara ini.

Menerusi satu kenyataan yang dibuat oleh Kumpulan Peguam Lawyer For Liberty (LFL), pihak mereka mahu Peguam Negara segera menggugurkan pendakwaan terhadap N Surendran yang merupakan peguam utama Anwar setelah dia ditahan  dibawah Akta Hasutan.

Pengarah Eksekutif LFL, Eric Paulsen berkata, dua pertuduhan yang dikenakan oleh N Surendran merupakan satu perkara yang sangat serius kerana kenyataan yang diberkan oleh peguam tersebut adalah bersifat pembelaan yang sah dari sudut undang-undang.

"Ia adalah mengejutkan dan tidak boleh diterima bagi seorang peguam dikenakan dakwaan atas kenyataan yang dibuat berhubung kes anak guamnya, dan lebih- lebih lagi kenyataan yang membentuk asas pembelaan yang sah untuk pelanggannya," ujarnya dipetik Keadilan Daily.

Tambah Eric lagi, dalam sesuatu perbiacaan, peguam dan anak guamnya berhak mendapat keadilan dalam melakukan tugas mereka dalam menegakkan kebenaran dan mereka mempunyai keistimewaan untuk tidak menerima sebarang ancaman mahu pun ugutan daripada pihak berkuasa.

Menurut Eric lagi, penahanan N Surendran menyebabkan Anwar akan mengalami masalah untuk mendapat perbicaraan seadilanya pada 28 dan 29 Oktober ini setelah peguam utamanya ditahan pihak berkuasa atas tuduhan dibawah Akta Hasutan.

"Ia tidak boleh diterima bagi Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan rayuan Anwar dengan tuduhan hasutan ini dikenakan kepada salah seorang peguam utama bagi rayuan itu," tambahnya lagi.

Merujuk kepada penahanan N Surendran sebelum ini, dia telah ditahan di bawah akta hasutan pada 19 Ogos lalu kerana mengeluarkan kenyataan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang menyabitkan Anwar didapati bersalah dalam pertuduhan kes liwat 2.

Selain itu, dia juga telah didakwa sekali lagi di bawah akta hasutan pada 28 Ogos yang lalu kerana mengeluarkan kenyataan di dalam sebuah video di Youtube kerana mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes berkenaan. – KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor