Tumpat - “Aku toksey anok-anok aku susoh. Cukuplah kito susoh (Aku tak
mahu anak-anak aku susah. Cukuplah aku seorang sahaja yang susah,”
rintih seorang daripada nelayan di sebuah kedai kopi di sini.
Rata-rata penduduk di sini lebih cenderung dengan masalah dalaman mereka iaitu masalah kemiskinan.
Walaupun ada orang sebilangan orang kampung bertikam lidah di warung
kopi berkenaan isu GST dan sebagainya, namun permasalahan yang dihadapi
nelayan dan petani lebih berkait rapat dengan kehidupan seharian mereka.
Bila ditanya kepada mereka yang bekerja sepenuh masa sebagai nelayan dan petani, apa yang mereka mahukan adalah kemiskinan dihapus sama sekali.
Bila ditanya kepada mereka yang bekerja sepenuh masa sebagai nelayan dan petani, apa yang mereka mahukan adalah kemiskinan dihapus sama sekali.
Sebenarnya golongan nelayan dan petani di sini sudah pun berkurangan dan kebanyakan daripada anak-anak mereka menetap di bandar.
Menurut persatuan nelayan di sini, jumlah nelayan yang berdaftar adalah 2,070 orang.
Mungkin bagi calon-calon yang bertanding faktor jumlah pengundi kecil berbanding jumlah pengundi yang berdaftar iaitu 23,929.
Walaupun begitu, ramai nelayan menceritakan masalah mereka hadapi adalah dengan peraturan yang ditetapkan pihak berwajib sedikit sebanyak menjejaskan nelayan kecil.
Ada juga yang meninggikan suara menyatakan peraturan itu lebih sesuai untuk nelayan laut dalam.
Masalah teknikal dihadapi nelayan bersangkutan dengan jarak batu nautika sehinggalah kepada masalah kuala yang cetek, namun kesan yang diterima mereka lebih kompleks.
“Kito toksey hidup sene sangat, tapi toksey la hidup susoh. Kalu ore atah duk sekat ni sekat tu, nok cari make kut mano pulok (Kita tak nak hidup kaya, tapi kita tak nak la hidup susah. Kalau pihak berwajib sekat itu ini, nak cari makan di mana pula),” kata seorang lagi rakan nelayan tersebut.
Dari permasalahan itu, banyak nelayan-nelayan yang tinggalkan pekerjaan mereka dan mula membuat kerja lain bagi menampung kehidupan mereka.
Menurut Azman yang juga seorang bekas nelayan, kita boleh lihat banyak bot-bot dan kapal-kapal yang tersadai di tanjung dan persisiran pantai.
“Bekerja sebagai nelayan atau petani umpama ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ dan kebanyakan lebih bergantung kepada pihak yang ketiga. Kita untung sikit sahaja,” katanya di sini.
Bagi petani pula, jika masuk ke kawasan Kampung Jejuluk, banyak tanah bendang yang terbiar dan tidak diusahakan.
Menurut seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Che Mat, petak-petak padi yang ada habis kering kontang.
“Pernah dahulu tanah bendang yang ada di situ sangat subur, namun selepas mesin kecil yang digunakan untuk menuai padi dihapuskan, banyak petani hilang punca serta terpaksa mencari rezeki dengan cara lain seperti berniaga,” katanya ketika ditemubual Harian Metro, sebentar tadi.
Seorang daripada nelayan yang mahu dikenali sebagai Ahmad berkata: “Mereka bukan tak mahu bantuan atau apa-apa, cuma mereka mahu ikhtiar sendiri.
“Banyak petani hilang punca rezeki selepas mesin kecil dihapuskan. Siapa lagi mereka hendak persalahkan?,” kata Ahmad.
Ahmad berkata, di sini memang kurang golongan cendiakawan, kerana itulah nelayan dan petani tidak mahu anak-anak mereka mewarisi pekerjaan yang mereka lakukan sekarang.
“Calon-calon mari benta kecek dua tiga minit, nok pehe masaloh kita guananyo (Calon-calon yang datang hanya sempat berborak dua hingga tiga minit. Bagaimana hendak tahu masalah kita),” rungut seorang daripada nelayan.
Esok hari penentu nasib bagi rakyat di jajahan Pengkalan Kubor. Tiga ‘pahlawan’ bakal bertempur habis-habisan bagi meraih kedudukan ‘Panglima’ di kawasan itu, namun semuanya terletak di tangan pengundi bagi memilih calon yang hambar sebagai perwira mereka atau hero yang gagah tetapi tidak julang.
Pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail, calon Parti Islam SeMalaysia (PAS) Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary sudah semakin jelas calon mana yang bakal dipilih mereka.
Walaupun pertembungan tiga penjuru, dua parti yang bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.01 Pengkalan Kubor lebih menonjol dan banyak memainkan isu nasional sebagai ‘kunci’ dalam berkempen seperti isu GST, royalti minyak dan pembangunan setempat berbanding calon Bebas.
Kesimpulannya, baik parti mana pun yang diletakkan untuk bertanding di Pengkalan Kubor ini, harapan penduduk di sini adalah wakil rakyat yang menang kelak dapat menghapuskan kemiskinan yang sedang dialami mereka.
Pada PRK itu calon BN, Mat Razi akan ditentang calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada BN Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lalu.
Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan Izat Bukhary (Bebas) dengan majoriti 1,736 undi. -myMetro