Mahasiswa Dan Pensyarah UM Berarak Tuntut Akta Hasutan Dimansuhkan

Pelajar, pensyarah UM berarak bantah Akta Hasutan

Seramai hampir 300 mahasiswa dan kakitangan akademik Universiti Malaya (UM) hari ini mengadakan protes sebagai tanda solidariti mereka kepada Profesor Madya Dr Azmi Sharom yang menghadapi dakwaan mengikut Akta Hasutan 1948.

Protes yang digelar "hartal" itu dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) dan Persatuan Kakitangan Akademik UM (PKAUM).

Protes itu bermula dengan perarakan mahasiswa daripada Fakulti Undang-Undang hingga ke perhentian bas utama di kampus tersebut.

Azmi merupakan pensyarah di fakulti itu dan presiden PKAUM.

Antara lain, mereka menuntut supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengotakan janji dengan memansuhkan akta zaman penjajah itu.

Menurut laman The Malaysian Insider, protes hari ini juga turut disertai beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin PKR termasuk Ketua Pemuda, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com