Malaysia...Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta...


Di sini lahirnya sebuah cinta… 

Mesti rata-rata rakyat Malaysia sudah tahu akan tema sambutan hari kemerdekaan ke-57 pada tahun 2014 ini bukan? 

Manakan tidak, slogan "Malaysia Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta" sentiasa diperkata dan diputar di semua media massa di sepanjang bulan kemerdekaan

Sambutan Hari Kebangsaan pada  tahun  ini  menampilkan keunikan apabila salah satu baris lirik lagu Warisan "Malaysia… Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta" yang dinyanyikan oleh Allahyarham  Sudirman Haji Arshad dipilih menjadi tema kemerdekaan yang  ke -57. 

Manakala, logo Hari Kemerdekaan yang dipilih pula adalah hasil ciptaan seramai 1,586 orang peserta Pertandingan Mereka Mencipta Logo Hari Kemerdekaan ke-57, anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Multimedia.

Ketika mengumumkan logo dan tema tersebut, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pemilihan sebaris lirik lagu Allahyarham Sudirman itu mampu menyemai dan menyemarakkan semangat cintakan negara dalam jiwa rakyat.

"Secara tidak langsung dapat mewujudkan  masyarakat yang cintakan negara dan sanggup berkorban dan bekerja keras demi menjamin keamanan,kemajuan, kesejahteraan dan kemakmuran negara pada jangka masa yang panjang," katanya.

Dengan itu, marilah kita sama-sama mengharmonikan negara kita yang tercinta ini.

Sama-samalah kita menjaga negara dari segala bentuk aspek penjajahan yang mampu menggugat kedaulatan negara demi sebuah masa depan yang lebih harmoni, aman, makmur dan sama-sama bertransformasi ke arah yang lebih baik pada masa akan datang.

Apa yang dapat dilihat dan menyedihkan adalah kibaran jalur gemilang di setiap rumah, malah kenderaan semakin hari semakin pupus dan tidak diendahkan oleh sebilangan rakyat Malaysia.

Oleh itu, marilah kita jalankan tanggungjawab dan peranan kita sebagai rakyat yang cintakan negara dengan menyemai rasa hormat di antara satu sama lain bersama sikap positif dari sebarang bentuk ancaman penjajahan di zaman serba canggih dan moden ini.

Ayuh, sama-sama kita kibarkan jalur gemilang dan sematkan semangat cintakan tanahair tidak kira di mana kita berada. Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia  ke-57 pada 31 Ogos 2014. Semoga kita sentiasa merdeka di hati... -Norhayati Shaharun/KedahNews.com