KUALA LUMPUR - Tindakan ganas terhadap jurufoto, Mohd Aizuddin Akmal
Saad yang ditumbuk ahli keluarga mangsa nahas MH17, Selasa lalu tidak
boleh diterima dan dianggap biadap.
Presiden Persatuan Jurufoto Media Malaysia (MPPA), Zainal Abdul Halim
berkata, jurufoto media tidak seharusnya menjadi sasaran (punching bag)
untuk pihak tertentu melepaskan geram, sebaliknya mereka hanya
menjalankan tugas merakamkan setiap kejadian.
Sehubungan itu, pihaknya mendesak supaya siasatan serta tindakan
tegas diambil terhadap individu yang menumbuk Aizuddin ketika bertugas
di di Taman Peringatan Nirvana Sungai Besi.
“Jika pihak media diberitahu bahawa keluarga mangsa tidak mahu
sebarang liputan, tentu kami tidak akan suka-suka buat liputan,” katanya
selepas membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Besi mengenai
kejadian ini bagi pihak persatuan, Khamis.
Zainal berkata, kejadian itu menyebabkan Aizuddin mengalami
pendarahan dan patah hidung, manakala kamera yang digunakannya rosak.
Jelasnya lagi, sebagai presiden persatuan mewakili jurufoto media
negara ini, pihaknya akan menyokong apa sahaja keputusan mangsa selepas
ini.
“Siasatan masih dibuat dan bagi saya sebarang keputusan lanjut untuk membawa kes ini ke mahkamah terserah kepada mangsa.
“Tugas kami di persatuan memastikan mangsa mendapat pembelaan sewajarnya,” tambahnya.
Menurut Zainal, masyarakat ‘berkokok’ mendesak pihak media diberi kebebasan membuat liputan tanpa sekatan.
“Mereka menuntut diberi kebebasan kepada media, lebih bebas daripada yang dinikmati sekarang.
“Malangnya mereka jugalah yang mengenakan sekatan kepada jurufoto
media tertentu untuk membuat liputan secara bebas dan mereka ini jugalah
yang mengancam jurufoto media,” katanya. – MSTAR ONLINE