Media Pro-Pembangkang Dakwa PAS Larang Ahli Sertai PasMa?

Laman portal The Malaysian Insider dilihat seolah-olah cuba mencetus kontroversi dengan meletakkan tajuk "Anggota PAS dilarang sertai PasMa, kata Tuan Ibrahim" pada sebuah laporan beritanya berkenaan penubuhan sebuah persatuan kebajikan baru-baru ini.

Berdasarkan tajuk yang agak "kontroversi" itu, portal itu seolah-olah cuba memberitahu bahawa PAS melarang anggotanya dari menyertai Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa).

Memetik kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, laporan media pro-pembangkang yang sering mencetus kekeliruan dan kemarahan ramai itu kemudian menjelaskan bahawa larangan itu hanya berlaku sekiranya PasMa merupakan sebuah "parti politik".

Meskipun umum mengetahui bahawa PasMa merupakan sebuah NGO yang baru ditubuhkan atas tujuan kebajikan, laman portal itu tidak teragak-agak untuk cuba mengelirukan orang ramai, terutama ahli-ahli PAS.

Bagaimanapun, kenyataan Tuan Ibrahim yang dipetik dari The Malaysian Insider itu jelas hanya memberitahu bahawa ahli-ahli PAS tidak digalakkan menyertai PasMa ekoran parti tersebut mempunyai lajnah tersendiri bagi tujuan kebajikan.

"Kita teliti NGO tersebut dan setakat ini kita tahu pendaftaran adalah bagi tujuan kebajikan bukan parti politik.

"Tapi tidak ada keperluan ahli PAS untuk sertai PasMa kerana kita sendiri pun ada lajnah kebajikan sendiri," katanya Tuan Ibrahim sebagaimana yang dipetik dari portal tersebut. -KedahNews.com