KUALA LUMPUR - Mengaitkan tindakan memainkan lagu Negaraku di panggung
wayang dengan era komunis adalah perbuatan keterlaluan dan tidak
bertanggungjawab kerana menghormati lagu kebangsaan merupakan asas
seorang warganegara.
Pakar sejarah, Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim berkata setiap
warganegara seharusnya mempunyai 'pertalian' dengan Negaraku, dan mereka
yang mempertikaikan langkah memainkan lagu itu dalam sesuatu acara
seharusnya dikenakan tindakan.
"Apa yang dimaksudkan dengan komunis? Mereka yang mengaitkan Negaraku
dengan komunis hanya pandai temberang, tidak banyak pengetahuan tetapi
mahu berkata-kata," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Kay Kim juga kesal kerana semangat menghormati lagu kebangsaan lebih
menebal di dalam diri masyarakat di luar negara, berbanding rakyat
Malaysia.
"Jika dikatakan itu (memainkan Negaraku di panggung wayang) sebagai
komunis, adakah rakyat lain yang menunjukkan sikap kenegaraan tinggi
semasa lagu kebangsaan mereka dimainkan juga komunis?," soalnya.
Semalam, Ahli Parlimen Kuching, Chong Chieng Jen dari DAP dikecam
kerana mempersoalkan lagu Negaraku dimainkan di pawagam semasa sambutan
Kemerdekaan dan Hari Malaysia, dalam akaun Facebooknya.
Status Chieng Jen, antara lain, menyebut "Since when has this playing
national anthem in cinema started? Is Malaysia heading towards the
communist Mao era where everywhere you go you must shout out loud and
show that you are a patriot?"
Selepas mendapat komen reaksi negatif daripada pengguna laman sosial,
Chieng Jen kemudiannya memohon maaf dan memadamkan status berkenaan.
Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah Universiti Malaya Dr Mardiana Nordin
pula berkata individu tidak seharusnya melihat 'keperluan untuk berdiri
menghormati Negaraku sebagai satu bentuk paksaan yang keterlaluan',
apatah lagi ia tidak mengambil masa yang lama.
"Sepatutnya individu yang tidak menghormati lagu kebangsaan berasa malu
pada diri sendiri kerana Negaraku apabila dimainkan di negara luar pada
kejohanan sukan misalnya, mereka (orang luar) akan berdiri walaupun
tidak memahami maksudnya," katanya.
Menghormati lagu kebangsaan juga merupakan satu cara untuk menzahirkan
sikap patriotik dan cintakan negara dalam diri, berbeza daripada cara
generasi terdahulu yang sanggup menggadai nyawa mendapatkan kemerdekaan,
tambahnya.
Bagi Anggota Jawatankuasa Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal
Insan Majlis Profesor Negara, Prof Dr Othman Lebar berpendapat perbuatan
tidak menghormati lagu kebangsaan berpunca kerana sifat 'mengambil
mudah' dengan kemakmuran negara.
Beliau yang berpeluang mengalami pengalaman berdiri di dalam panggung
wayang baru-baru ini, juga kesal kerana terdapat segelintir masyarakat
khususnya generasi Y yang tidak memandang serius keperluan menghormati
lagu kebangsaan.
"Mereka yang melihat perlu menegur individu itu (tidak berdiri), namun
disebabkan nilai masyarakat yang semakin berkurangan menyebabkan mereka
hanya memandang, kerana bimbang dianggap mencampuri urusan orang,"
katanya.
Sementara di Kuching, Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional
Sarawak, Abdullah Saidol melahirkan perasaan meluat dengan status
Facebook Chieng Jen dan komen terhadap lagu kebangsaan itu tidak akan
dilupakan walaupun Ahli Parlimen DAP itu sudah memohon maaf.
"Banyak orang telah membaca komen beliau (Chieng Jen) dan beliau
sepatutnya malu dengan diri sendiri," kata Abdullah, menambah inisiatif
untuk memainkan lagu itu di dalam panggung wayang untuk menimbulkan
kesedaran pentingnya sambutan bulan kemerdekaan di Malaysia.
TGV Cinemas Sdn Bhd (TGV) dan Golden Screen Cinemas (GSC) pula
memberitahu mereka tidak menerima aduan daripada penonton yang terganggu
kerana perlu berdiri sebelum tayangan filem bermula.
Lagu Negaraku berkumandang di 70 pawangan seluruh negara bermula 28
Ogos lalu sehingga 16 September di GSC, manakala di TGV bermula juga 28
Ogos dan berakhir semalam.
Langkah ini hasil cadangan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Pengurus Kanan Pemasaran TGV Celeste Koay berkata mereka bangga kerana
dapat menjadi sebahagian daripada inisiatif kerajaan dalam memupuk
semangat patriotisme dalam rakyat Malaysia.
"Kami berbangga apabila pelanggan kami, tidak mengira bangsa dan agama
berdiri semasa Negaraku dimainkan," katanya dan turut berterima kasih
kepada semua rakyat Malaysia yang memberikan kerjasama.
Sementara itu, jurucakap GSC pula memberitahu mereka bersedia untuk
terus memainkan lagu Negaraku jika diminta untuk berbuat demikian. -
Bernama