#MH17: Laporan Awal Dakwa Pesawat Ditembak Peluru Berpandu Dari Darat


Laporan awal siasatan nahas Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang dikeluarkan Lembaga Keselamatan Belanda (OVV) menunjukkan bahawa pesawat MAS itu telah pecah di udara akibat kerosakan struktur selepas ditembusi oleh “beberapa objek pada kelajuan tinggi”.

OVV juga menyatakan “tiada bukti teknikal atau kesilapan manusia” yang mungkin menyebabkan nahas itu.

Menurut laporan 34 muka surat itu, tiada amaran lisan atau amaran kerosakan sistem pesawat didengar dalam rakaman suara kokpit (kotak hitam) MH17 itu.
Komunikasi kru MH17 juga didapati tidak menunjukkan sebarang keadaan luar biasa manakala parameter enjin adalah normal bagi penerbangan itu.

Pasukan penyiasat yang terdiri daripada pakar antarabangsa juga mendapati pesawat MH17 terbang di ruang udara yang tidak dilarang mengikut laluan dan ketinggian yang dibenarkan Pengawal Trafik Udara (ATC).

Hasil laporan itu adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada kotak hitam pesawat, ATC, imej satelit dan gambar dari tempat nahas.

Pesawat Boeing 777 itu yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, terhempas di timur Ukraine antara Krasni Luch di wilayah Luhansk dan Shakhtarsk, Donetsk pada 17 Julai lalu selepas dipercayai ditembak dengan peluru berpandu darat ke udara.

Semua 298 orang yang berada dalam pesawat itu terkorban.

Kerajaan Ukraine dan negara Barat mendakwa terdapat bukti kukuh bahawa pemberontak pro-Russia yang menembak jatuh pesawat komersial berkenaan dengan sistem anti-pesawat dikenali sebagai BUK.

Bagaimanapun, pihak Russia menyangkal dakwaan bahawa mereka membekalkan sebarang senjata atau peluru berpandu kepada pemberontak itu.

Pakar Belanda, United Kingdom, Australia, Malaysia, Amerika Syarikat, Ukraine dan Russia bekerjasama menyiasat nahas berkenaan, lapor laman Bharian.com.my.

Menurut OVV, laporan akhir berkaitan nahas MH17 dijangka dikeluarkan dalam tempoh setahun.

Gambar:




mh1

- Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com