#MH17: Pasukan Khas PDRM Akan Berlepas Ke Ukraine Hari Ini


Pasukan penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berlepas ke Ukraine bagi menyambung semula siasatan di lokasi nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 selepas puak pemisah dan tentera di negara itu bersetuju melaksanakan gencatan senjata.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui akaun Twitternya berkata, kumpulan pertama yang terdiri daripada 30 pegawai dan anggota dari pelbagai unit itu akan diketuai Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim.

Mereka akan disusuli sepasukan 50 pegawai dan anggota lain, kata Khalid.

Pada Sabtu, media antarabangsa melaporkan tentera Ukraine dan puak pemisah pro Rusia bersetuju mengadakan gencatan senjata selepas rundingan di Belarus.

"Seluruh warga PDRM mendoakan mereka semua selamat dan berjaya dalam tugas," katanya yang dipetik dari laman Bernama.com.

Pada 17 Julai lepas, kesemua 298 penumpang dan anak kapal penerbangan MH17 maut apabila pesawat itu yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas dipercayai ditembak jatuh di timur Ukraine. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com