#MH17: Pilu... Hujan Renyai Sambut Kepulangan Sembilan Lagi Jenazah #MalaysiaBerkabung


Hujan renyai-renyai yang membasahi bumi pagi ini seakan-akan turut bersedih dengan kepulangan sembilan jenazah mangsa nahas pesawat MH17 yang tiba di pekarangan Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, jam 8.30 pagi tadi.

Lebih pilu apabila pesawat berkenaan turut membawa jenazah dua kapten MH17 iaitu Kapten Wan Amran Wan Hussin dan Kapten Eugene Choo Jin Leong.

Lapan anggota pengiring Tentera Diraja Malaysia yang lengkap berpakaian baju istiadat mengiringi keranda Kapten Wan Amran terlebih dahulu diikuti empat keranda yang lain dan empat bekas abu mayat ke kenderaan jenazah dengan penuh adat istiadat ketenteraan sambil diperhatikan dengan perasaan sebak oleh ahli keluarga mangsa dari kejauhan.

Selesai majlis penghormatan terakhir kepada jenazah, tempoh bertafakur selama seminit diumumkan serentak di seluruh negara tepat jam 8.58 pagi dengan tetamu yang berada di landasan Kompleks Bunga Raya juga turut tunduk bertafakur mengikut kepercayaan agama masing-masing.

Sementara itu, tepat jam 9.30 pagi, dua bekas abu dan satu keranda diterbangkan terus menggunakan helikopter Charlie dari landasan Kompleks Bunga Raya ke lokasi persemadian masing-masing manakala abu anak kapal Sanjid Singh Sadhu akan diterbangkan menerusi helikopter Charlie dari Pangkalan Tentera Udara Sungai Besi ke Pulau Pinang.

Pesawat komersial MH19 yang membawa kumpulan ketiga terdiri daripada jenazah tujuh rakyat Malaysia dan dua rakyat Belanda itu tiba di Kompleks Bunga Raya KLIA selepas selamat mendarat 6.37 pagi tadi apabila berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Schiphol, Belanda pada jam 12.22 tengah hari Isnin waktu tempatan.

Setakat ini, jenazah 31 daripada 43 rakyat Malaysia sudah dibawa pulang ke tanah air.

Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas selepas ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu.

Selain 43 warga Malaysia, pesawat itu turut membawa penumpang warga Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com