Mujahid Bercanggah Fatwa Dengan Nik Abduh

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa enggan bersetuju dengan pandangan pandangan anak lelaki Mursyidul Am PAS, Nik Abduh Nik Aziz, mengenai kematian seorang anak Kedah, Allahyarham Ustaz Mohd Lotfi Ariffin yang terkorban di Syria baru-baru ini.

Kata Mujahid, status kematian Ustaz Lotfi itu sama ada "syahid" atau tidak, hanya layak ditentukan oleh Allah SWT dan tiada sebarang kaitan dengan PAS.

 "Memburu syahid adalah sesuatu yang suci dan kita tidak boleh menghalang pendapat mereka mengenai perkara ini," tegas Mujahid.

Mujahid turut menegaskan bahawa segala kegiatan ahli atau bekas ahli PAS yang tiada kena-mengena dengan politik adalah jatuh di bawah tanggungjawab masing-masing dan parti itu tidak bertanggungjawab atas kegiatan mereka.

"PAS sebagai sebuah parti mengambil keputusan jelas bahawa sesiapa yang terlibat dalam proses politik selain rangka kerja parti, di dalam atau luar negara, tidak lagi menjadi tanggungjawab parti ini.

"Jika seseorang individu memutuskan untuk memperjuangkan keadilan dan menentang ketidakadilan terhadap golongan ditindas, peluang untuk mati syahid menanti anda, hanya ia tiada kaitan dengan parti,"  katanya yang dipetik dari Mstar.

Nik Abduh sebelum ini mendakwa bahawa kematian Allahyarham Ustaz Lotfi yang terlibat dalam kumpulan bersenjata di Syria itu adalah berstatus "syahid".

Ustaz Lotfi dalam usia 45 tahun dilaporkan maut selepas berada dalam koma akibat serangan hendap yang dilancarkan militan pemberontak di timur Hama pada Selasa lalu.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad memberitahu bahawa PAS mengambil pendirian tegas untuk menjauhkan diri daripada peperangan yang berterusan di Iraq dan Syria, malah telah memecat semua ahli yang terlibat dengan aktiviti tersebut.

"Kami memutuskan untuk tidak terlibat dengan konflik tersebut kerana kami percaya ia adalah perang proksi dan kami tidak menggalakkan ahli parti untuk pergi ke sana," kata Khalid yang kini dikaitkan dengan gerakan menjatuhkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. -KedahNews.com