Mukhriz Lafaz Ikrar Taat, Setia, Ikhlas Sokong Najib!

Jerlun - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menegaskan bahawa beliau memberi sokongan penuh pada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kepimpinannya sebagai Presiden UMNO dan Barisan Nasional.

Mukhriz berkata, keyakinan beliau selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah dan semua barisan kepimpinan UMNO di negeri Jelapang Padi itu tidak pernah pudar, malah amat menghargai sokongan Perdana Menteri terhadap kepimpinannya di peringkat negeri.

"Saya ingin menyatakan bahawa seluruh kepimpinan UMNO dan BN Negeri Kedah, bermula dari saya sendiri melafazkan ketaatan dan kesetiaan kepada perjuangan parti dan ikhlas menyokong kepimpinan Datuk Seri (Najib Tun Razak," tegasnya dalam ucapan beliau dalam Mesyuarat UMNO Bahagian Jerlun, di sini, petang tadi.

Najib dijemput Menteri Besar Kedah itu untuk hadir merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Jerlun.

Mengulas mengenai teguran bapanya terhadap Perdana Menteri baru-baru ini, Mukhriz menyifatkan ia sebagai "tonik" memperkasakan kepimpinan Najib dan bukti Tun Dr Mahathir Mohamad itu sayang pada pemimpin nombor satu negara itu.

"Teguran yang dikemukakan Ayahanda Tun Mahathir itu juga adalah datangnya dari sifat sayang dan bertujuan untuk memberi kekuatan kepada Datuk Seri.

"Dari kenyataan-kenyataan Datuk Seri sendiri, saya percaya Datuk Seri juga memahami (tujuan dan niat) akan perkara ini", jelasnya yang memandang tinggi respon Najib dalam menerima dan menghormati teguran ayahnya itu.

Mukhriz turut menzahirkan penghargaan beliau terhadap Perdana Menteri melalui sebuah lukisan penuh makna, melakarkan potretnya bersama Najib yang dihadiahkan sebagai cenderahati di majlis berkenaan.


Selain itu, Menteri Besar itu berkata, kepimpinan PAS dan rakan-rakan sekutunya selama lima tahun di negeri itu memberikan "hikmah tersendiri" kepada rakyat Kedah untuk menilai dan membandingkan sendiri pencapaian di antara dua kerajaan yang berbeza.

Katanya, maklum balas yang diperoleh dari majoriti rakyat menjelaskan tentang pelbagai kelemahan yang ada pada Kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah sehingga menyebabkan mereka serik untuk memilih pakatan pembangkang itu sekali lagi.

"Jelas sekali ketidakcekapan, ketidakikhlasan dan kepincangan di antara mereka telah mengakibatkan kemerosotan berlaku pada kepimpinan mereka," katanya.

Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, turut hadir dalam mesyuarat tersebut. -Norhayati Shaharun/KedahNews.com