Mukhriz Mahu Bangunkan Industri Buluh Di Kedah

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah akan melaksanakan rancangan khas pembangunan industri buluh di negeri ini berikutan potensi besar sumber asli itu yang boleh dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti menjana ekonomi.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, menerusi 'Kedah Bamboo Agenda' KBA), pelbagai bidang baharu berkaitan buluh dapat diteroka, termasuk aktiviti pembuatan, pemasaran, pemborongan, keusahawanan, pelancongan serta pertanian.

"Melalui KBA juga, saya berharap pihak swasta, kerajaan, NGO, institusi pengajian, pemimpin masyarakat dan kumpulan muda mengambil peluang keemasan ini untuk terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam segenap bidang membabitkan buluh.

"Pihak kerajaan negeri melalui agensi-agensinya sedia membantu menjayakannya bersama," katanya pada Majlis Perasmian Hari Buluh Sedunia 2014, di sini hari ini.

Beliau berkata, melalui KBA juga kerajaan negeri bercadang mewujudkan Taman Buluh di Bukit Wang, Kubang Pasu dan 'Green Bamboo Valley' di Padang Terap.

"Kedua-dua projek jangka panjang ini merupakan kenyataan konkrit dan realiti penggunaan buluh dalam serba bidang yang boleh disimpulkan sebagai 'Bamboo World' showcase," kata Mukhriz.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, beliau berkata, kerajaan negeri juga memutuskan untuk membina struktur kanopi ikonik berasaskan buluh di Taman Jubli Emas di sini.

"Kita akan mulakan pembinaan kanopi ini secepat mungkin... struktur kanopi ikonik ini akan menggunakan bahan buluh dan saya yakin ia akan menjadi tarikan pengunjung dari seluruh negara," katanya.

Beliau berkata, untuk tujuan itu, anggota Exco berkaitan akan mengadakan beberapa perbincangan awal dengan Yayasan Keusahawanan dan Inovasi Global (GIEF) serta Konsortium Bamboo Malaysia.

Beliau berkata, sebuah pusat khas yang diberi nama Pusat Pengkomersilan Buluh (BCC) akan ditubuhkan dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di Pusat Sains, Wilayah Utara yang terletak di Gunung Keriang dekat sini.

"Penubuhan BCC ini bertepatan dengan usaha MOSTI untuk mengkomersilkan Produk inovatif supaya diterima oleh pasaran tempatan dan antarabangsa selaras dengan Tahun Pengkomersilan Malaysia 2014 oleh MOSTI.

"Inisiatif merealisasikan KBA juga sebenarnya merupakan satu usaha pelengkap kepada usaha kerajaan untuk memulihara alam semula jadi, untuk mengurangkan keluaran gas karbon dioksida," katanya. - BERNAMA