Mukhriz Saran Penduduk Kedah Guna Air Secara Berhemah

Datuk Mukhriz Tun Mahathir

Alor Setar – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir meminta penduduk di  Kedah agar menggunakan air dengan cara lebih berhemah serta berjimat cermat ekoran paras air di tiga empangan utama di negeri ini berada dalam keadaan berjaga-jaga.

Namun begitu, Mukhriz berkata, rakyat tidak perlu bimbang kerana kerajaan negeri tidak akan menjalankan catuan air seperti yang dilakukan di Selangor.

"Sekarang paras air di empangan Muda, Pedu dan Ahning sekitar 80 peratus dan jumlah ini sebenarnya masih banyak. Walaupun ada hujan turun tetapi ia tidak turun di kawasan empangan," katanya dipetik Bernama selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Wisma Darul Aman, di sini.

Menurut Mukhriz lagi, permasalahan ini juga akan menyebabkan Kedah mengalami kerugian disebabkan oleh kadar kehilangan air tanpa hasil (NRW) yang tinggi.

"Kadar NRW sekarang sekitar 48 peratus yang disebabkan masalah paip bocor, paip lama dan itu tidak termasuk disebabkan kecurian. Bayangkan daripada 100,000 liter air, kita akan hilang hampir 48,000 liter disebabkan masalah ini," katanya lagi.

Mukhriz berkata, kerajaan negeri Kedah akan mengadakan satu perbincangan dengan kerajaan pusat bagi mencari jalan penyelesaian terhadap masalah tersebut.

Dalam pada itu, Mukhriz turut mengumunkan pemberian tanah lot untuk 27 pemain bola sepak Kedah telah diluluskan sebagai ganjaran kepada mereka yang membantu pasukan negeri menjuarai Piala Malaysia, Piala FA serta Liga Super bagi musim 2007 dan 2008.

Setiap pemain akan memperolehi tanah lot seluas 6,000 kaki persegi yang terletak di Bandar Tunku Puteri di Pokok Sena. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor