Nasruddin Tantawi Buktikan DAP Lebih Teruk Berbanding PAS

AJK PAS Pusat, Nasruddin Hassan Tantawi membidas pedas Penasihat DAP, Lim Kit Siang, menerusi sebuah poster yang memaparkan kegagalan ketara DAP yang mengalami penurunan undi yang jauh lebih teruk berbanding PAS pada Pilihanraya Kecil (PRK) yang berlangsung sebelum ini.

Nasruddin menegaska bahawa PAS hanya mengalami penurunan undi sebanyak 13.18 peratus pada PRK DUN Pengkalan Kubor baru-baru ini berbanding DAP yang hilang sebanyak 27.3 peratus undi pada PRK Parlimen Teluk Intan, sebelumnya.

"Yb Lim Kit Siang keluarkan amaran bahawa Kekalahan PAS di Pengkalan Kubur adalah isyarat BN akan merampas Kelantan. Bagaimana dengan kekalahan PKR di Balingian dan DAP di Teluk Intan?" soal Nasruddin pedas terhadap bapa kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng itu.

Menerusi akaun laman Facebooknya, Nasruddin yang merupakan bekas Ketua Pemuda PAS itu terus membidas DAP dan PKR yang sebelum ini dikatakan punca utama menyebabkan huru-hara berlaku di dalam parti Islam tersebut.


Dalam poster tersebut, Nasruddin turut mempamerkan prestasi PKR yang jauh lebih buruk berbanding partinya yang mengalami kemerosotan undi sebanyak 33 peratus pada Pilihanraya Negeri DUN Balingian di Sarawak, pada tahun 2011.

Kit Siang dalam kenyataannya menghentam PAS baru-baru ini menegaskan bahawa kekalahan PAS di PRK Pengkalan Kubor menandakan parti itu akan kehilangan kuasa di negeri Kelantan kepada Barisan Nasional (BN) tidak lama lagi.

BN sebelum ini menyatakan bahawa PRK di DUN Pengkalan Kubor itu hanya merupakan pertandingan di antara "dua saudara" yang hanya memiliki sedikit perselisihan faham dalam soal politik dan tidak mencerminkan pepecahan ummah di Malaysia.

Bagaimanapun, BN berjaya mengekalkan kemenangan di PRK Pengkalan Kubor dengan majoriti yang lebih besar setelah PAS dikatakan telah diboikot oleh dua rakan sekutunya yang enggan turun memberi sokongan pada parti tersebut di sana. -KedahNews.com