Penyanyi Shila Amzah dan bapanya, Amir Amzah Salleh atau ND Lala mengatakan bahawa mereka rela diboikot media tempatan ketika tampil dalam program bual bicara hiburan di stesen television berbayar negara, “Apa Kata Malaysia” (AKM) yang bersiaran di Astro Ria pada Rabu.
Dalam rancangan bual bicara tersebut, ND Lala menegaskan, sidang media dibuat bagi menjelaskan keadaan sebenar berkenaan isu salah faham anaknya Shila Amzah dengan Media Melayu baru-baru ini.
Datuk Aznil Nawawi selaku pengacara AKM juga turut bertanya pendapat ND Lala mengenai isu Shila Amzah yang didakwa sedang diboikot media tempatan.
Malah, ND Lala menyatakan bahawa dia akan menghormati pandangan dari sesiapa sahaja yang nasihati dan juga mengkritik mereka.
"Saya menghormati pandangan siapa saja," katanya pada Aznil Nawawi.
Tegas ND Lala lagi, jika keputusan memboikot mereka anak beranak boleh mengembalikan kredibiliti wartawan hiburan tempatan supaya masyarakat hormat kepada pengamal media tanahair, mereka berdua redha.
"Sekiranya saya dan Shila diboikot, kami redha."
"Kalau keputusan memboikot itu boleh mengangkat kembali kredibiliti wartawan hiburan di negara ini, supaya masyarakat hormat kepada pengamal media dalam bidang yang berkaitan, jadi begitulah kiranya," ujar ND Lala lagi.
Terdahulu, Shila memuat naik semula (repost) gambar dan kapsyen yang ditulis oleh akaun kelab peminatnya, @shilaamzah_photography yang mempersoalkan mengapa tiada liputan daripada media berbahasa Melayu berbanding media berbahasa Cina mengenai konsert sulungnya di Malaysia baru-baru ini.
Tindakan penyanyi lagu "Patah Seribu'' itu memuat naik semula gambar tersebut seolah-olah bersetuju dengan kenyataan dan pendapat kelab peminatnya yang telah mencetuskan kontroversi.
Seterusnya, isu tersebut telah mendapat perhatian media Melayu kerana difahamkan pihak media tidak mendapat jemputan untuk menghadiri konsert tersebut. -Norhayati Shaharun/KedahNews.com