Negeri Presiden Haramkan, Phahrolrazi Masih Anggap PAS Iktiraf PasMa?

Berpegang pada kenyataan Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man yang tidak mengharamkan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), Presidennya, Datuk Phahrolrazi Zawawi menganggap PAS mengiktiraf kewujudan persatuan yang diketuainya itu.

Phahrolrazi turut mendakwa pihaknya mendapat respon positif dari kalangan penyokong Pakatan Rakyat, khususnya dari ahli PAS.

"Selepas kenyataan itu dibuat, saya mula mendapat maklum balas positif daripada penyokong PR, terutama ahli Pas.

"Saya percaya sekarang objektif penubuhan Pasma sudah difahami ramai pihak,” katanya selepas majlis "Dialog Bersama PasMa: PAS Keluar Pakatan, Mimpi Jadi Realiti?", yang dipetik dari Sinar Harian, semalam.

Pada 8 September baru-baru ini, Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan berkata bahawa ahli Pas tidak dilarang menyertai mana-mana NGO kerana dalam parti itu pun terdapat pelbagai NGO. 

Pun begitu, Naib Presiden PAS itu menegaskan pihaknya tidak menggalakkan ahlinya menyertai PasMa yang kononnya ditubuhkan sebagai NGO berteraskan "kebajikan" memandangkan PAS mempunyai lajnah kebajikannya sendiri.

PAS Terengganu pula kemudiaannya dalam satu kenyataan media memutuskan untuk mengharamkan ahli parti di negeri itu dari menyertai PasMa.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid dalam kenyataannya memberitahu bahawa pengharaman tersebut dikuatkuasakan serta-merta dan ditujukan khas kepada seluruh badan organisasi PAS di negeri tersebut.

"Larangan ini termasuklah menjadi ahli PasMa, menubuhkan PasMa, dan menghadiri apa-apa program anjuran PasMa.

"Ahli Pas juga dilarang sama sekali untuk memberi  kerjasama kepada program anjuran Pasma dalam apa jua bentuk sekalipun," tegas PAS Terengganu. -KedahNews.com