NUTP Buru Dalang Bocor UPSR Hingga Ke Lubang Cacing

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berikrar akan mencari dalang yang membocorkan kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan mahu pihak tersebut dikenakan hukuman paling maksimum.

Presidennya, Hashim Adnan menegaskan bahawa perbuatan itu adalah jenayah yang sangat serius dan mencemarkan imej Kementerian Pendidikan dan profesion perguruan.

Malah katanya, salah laku yang tidak bermaruah itu turut menyusahkan seramai 472,853 calon UPSR yang terpaksa menduduki peperiksaan itu pada 30 September ini.

Menteri Pendidikan ll, Datuk Seri Idris Jusoh, hari ini memberitahu media bahawa kertas Bahasa Inggeris 1 dan 2 ekoran kertas soalan bagi mata pelajaran itu turut dilaporkan bocor.

Terdahulu, kertas UPSR bagi mata pelajaran Sains 018, 028, 038 yang dijadualkan hari ini terpaksa ditangguhkan kerana terdapat laporan awal mengenai kebocoran kertas peperiksaan.

Pengarah Peperiksaan dari Lembaga Peperiksaan Negara, Dr Na'imah Ishak  semalam berkata, siasatan awal menunjukkan bahawa kandungan soalan bagi kertas peperiksaan Sains itu didapati mula tersebar di media sosial.

Beliau turut memaklumkan bahawa tarikh baharu bagi peperiksaan subjek berkenaan akan  ditetapkan pada 30 September ini. -KedahNews.com

Sumber asal: BHOnline