Pakatan Perlu Ikhlas Terima Azmin Jadi MB Di Selangor -Tun M


Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyarankan kepada semua pihak supaya menerima keputusan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memperkenan melantik Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali, menjadi Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Tun M berkata, rakyat di negeri berkenaan khususnya para pemimpin dalam Pakatan Rakyat (PR) perlu menyambut baik keputusan Sultan Selangor bagi menyelesaikan segala kemelut politik yang sekian lama berlaku di sana.

Jelas Tun M lagi, parti komponen dalam PR terutamanya PKR sepatutnya bersyukur kerana pemimpin mereka masih dipilih menjadi Menteri Besar di Selangor walaupun parti tersebut bertegas mengemukakan satu nama iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi jawatan tersebut.
   
"Mereka tidak dapat membuat kata putus bersama untuk mengemukakan satu calon... sebab itu Sultan meminta dua tiga calon dan terpulang pada Sultan untuk memilih sesiapa dan saya harap semua pihak akan bersetuju," katanya dipetik Bernama.

Menurutnya lagi, dia berharap Ahli Dewan Undangan Negeri di Selangor tidak bercadang untuk melakukan usul tidak percaya kepada pelantikan Azmin sebagai Menteri Besar kerana ia akan menyebabkan krisis di negeri berkenaan menjadi semakin rumit dan boleh mendatangkan kesan buruk terhadap rakyat di sana.
   
"Berpanjangan masalahnya dan lebih baik mereka sokong siapa yang akan dicalonkan sebagai menteri besar," ujar Tun M.

Sementara itu, Tun M turut menegaskan perlantikan Azmin masih mengikut dasar dekmokrasi dalam parlimen kerana keputusan tersebut telah dibuat oleh Sultan Selangor sendiri walaupun PKR dan DAP tidak mengikut arahan yang ditetapkan pihak Istana dalam mengemukakan lebih dari seorang calon.

:"Demokrasi adalah mengikut suara ramai, kali ini tiada suara ramai jadi terpaksa pihak seperti presiden membuat keputusan.
   
"Kalau ada satu calon yang disokong penuh oleh semua, maka tidak ada kemungkinan usul tiada kepercayaan, malah satu nama dah cukup," tambahnya lagi

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali, 50,  telah sah dilantik menjadi Menteri Besar Selangor ke-15 selepas dia mengangkat sumpah dihadapan Sultan Selangor pada jam 10.42 pagi tadi di Istiadat Angkat Sumpah di Balairong Seri Istana Alam Shah, Klang. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor