MAKKAH - Pengalaman lebih 50 tahun Tabung Haji (TH)
mengendalikan urusan jemaah haji Malaysia menarik minat pejabat hal
ehwal haji Pakistan di sini.
Pengarah besar (haji) di pejabat konsul jeneral Pakistan yang
berpangkalan di Jeddah, Syed Abu Ahmed Akif berkata Pakistan mahu
mencontohi sistem yang digunakan TH dalam mengurus jemaah haji Malaysia.
Pejabat hal ehwal haji Pakistan di sini mengendalikan kira-kira
144,000 jemaah yang merupakan kumpulan haji negara asing kedua terbesar
selepas Indonesia, katanya semasa perjumpaan dengan pihak pengurusan TH
yang diketuai ketua delegasi haji Malaysia, Datuk Syed Saleh Syed Abdul
Rahman di pejabatnya di sini pada Selasa.
Syed Saleh disertai lapan anggota rombongan termasuk timbalan beliau,
Nurrin Anuwar Shamsuddin, konsul haji Malaysia di Arab Saudi, Redhuan
Sabarudin dan timbalan ketua delegasi haji (perubatan) Dr Saiful Azlan
Sharif.
Syed Abu Ahmed Akif berkata daripada 144,000 jemaah Pakistan, 56
peratus dikendali kerajaan dan yang lain oleh syarikat swasta, dan bagi
pihak kerajaan, meeka hanya dikenakan US2,500 (RM7,935) bagi seorang
jemaah yang sebahagian besarnya adalah bagi pengangkutan dan penginapan.
Beliau berkata jemaah perlu mendaftar dan membuat pembayaran enam
bulan sebelum musim haji bermula iaitu pada April melalui bank tertentu,
oleh kerana pejabat hal ehwal haji Pakistan tidak menguruskan dana
untuk melakukan haji.
Pejabat akan membayar balik kepada jemaah sebelum haji bermula
sekiranya kos bagi tahun berkenaan lebih murah daripada bayaran yang
dikenakan berikutan kos penginapan dan pengangkutan berbeza dari setahun
ke setahun, tambahnya.
Beliau berkata penginapan bagi jemaah Pakistan adalah di kawasan
Aziziah yang terletak kira-kira tujuh hingga lapan kilometer dari
Masjidil Haram, dan memerlukan perkhidmatan 24 jam untuk membawa pergi
dan balik jemaah.
"Kami membawa 1,000 petugas untuk mengendali jemaah dengan 450 orang
terdiri daripada 450 kakitangan perubatan dan kami mempunyai 30 buah
katil di Makkah dan 20 katil di Madinah," katanya dan menambah 400 lagi
kakitangan adalah bagi keselamatan dan mengurus jemaah yang dikendali
oleh Wajid Zia, pengarah penginapan dan pengangkutan yang juga timbalan
ketua polis Pakistan.
Beliau berkata pihaknya juga mendapatkan 2,000 anggota sukarelawan
dari kalangan pekerja Pakistan di Arab Saudi yang menawarkan khidmat
percuma bagi membantu menjaga jemaah selepas melakukan haji itu selepas
melontar di Mina.
Terdapat kira-kira dua juta rakyat Pakistan di Arab Saudi dan akhbar
berbahasa Urdu terbesar dicetak di negara tersebut, tambahnya.
Sementara itu konsul haji Pakistan, Syed Rafeo Bashir Shah berkata
Pakistan sedang mencari cara terbaik untuk mengesan jemaahnya yang
sesat.
Sejak dua tahun lepas dengan kerjasama Arab Saudi, mereka cuba
menggunakan sistem posisi global (GPS) melalui telefon bimbit yang
dimilki jemaah dan dikenakan bayaran 10 riyal bagi seorang jemaah, dan
mereka masih melihat kepada pilihan lain, tambahnya.
Sementara itu Syed Saleh berkata Malaysia dan Pakistan boleh
berkongsi pengalaman dan idea dalam menambah baik perkhidmatan yang
disediakan untuk jemaah.
Beliau berkata TH bukan sahaja mengendalikan urusan haji, tetapi juga
mengurus dana yang disimpan 8.4 juta penyimpan dan dari jumlah itu
hanya 1.5 peratus yang mendaftar untuk mengerjakan haji.
Beliau berkata kini TH mengendalikan dana berjumlah US15 bilion
(RM47.6 bilion) dan memberi dividen antara lima hingga enam peratus
setahun dan mengenakan kos US3,000 (RM9,522) untuk seorang jemaah
berbanding kos sebenar US5,000 (RM15,870).
Perbezaan US2,000 (RM6,348) diberi subsidi oleh TH melalui hasil projek pelaburannya, tambah beliau.
Beliau berkata kebanyakan tempat penginaapan yang disediakan TH
kurang dari satu kilometer dari Masjidil Haram dan kini mengalami
kesukaran memperoleh bangunan bersesuaian hampir dengan Masjidil Haram
dengan harga sewaan yang berpatutan untuk tempahan lebih 40 hari. -Mstar