"PAS Benar, Bukan Macam PKR atau DAP", Tegas Abdul Hadi

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan kepada ahli-ahli PAS supaya jangan menganggap parti itu sama dengan DAP dan PKR walaupun berada di dalam Pakatan Rakyat.

Menurut Abdul Hadi, PAS merupakan sebuah jemaah yang berada di landasan yang benar dan terbina berdasarkan perjuangan Islam yang bersifat sempurna, serta tidak sama sekali boleh disamakan dengan PKR dan DAP.

"Kita dalam jamaah kita yang benar, yang betul, tegak Islam yang sempurna. Jangan anggap serupa, ini tak betul, tak sama," tegasnya ketika merasmikan Nadwah Pemerkasaan Duat (NEKAD) anjuran Lajnah Dakwah PAS Pusat di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) Taman Melewar, pagi ini.

Dipetik dari laman rasmi parti itu, Harakahdaily, Presiden PAS itu menjelaskan bahawa beliau terpaksa memberi penegasan tersebut ekoran wujudnya dakwaan yang agak kuat di kalangan ahli parti itu yang menganggap bahawa PAS sama dengan dua parti itu baru-baru ini.

Kongres PKR yang berlangsung di Selangor sebelum itu dilihat seolah-olah menjadi medan untuk"membelasah" Abdul Hadi dan PAS disebabkan keengganan parti itu untuk akur pada kehendak PKR dan DAP yang mahu mengajukan nama seorang calon saja sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan nama isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal PKR dan DAP bagi menggantikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Bagaimanapun Abdul Hadi dengan lantang menolak keputusan Anwar itu dengan mencadangkan dua nama yang diputuskan Majlis Syura PAS kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, sehingga menimbulkan kemarahan Anwar dan sekutunya, DAP.

Sultan Selangor sebelum itu bertitah mahu Pakatan Rakyat mempersembah lebih dari satu nama sahaja bagi menggantikan Khalid dan PAS menegaskan bahawa mereka berpegang patuh pada titah tersebut.

Kemelut penggulingan Menteri Besar Selangor itu disifatkan sebagai satu tindakan "menelanjangkan" segala kurap dan kudis di dalam Pakatan Rakyat selain dianggap sebagai salah satu faktor yang bakal menamatkan riwayat gabungan ketiga-tiga parti yang bertentang dasar itu. -KedahNews.com