PAS Beri Cuti Untuk "Pancing" Undi #PRKPengkalanKubor?


Tumpat – Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan pemberian cuti kepada rakyat Kelantan semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubor bukanlah bertujuan sebagai satu taktik PAS memastikan mereka kembali merampas kawasan berkenaan yang sebelum ini dikuasai oleh Barisan Nasional.

Mohd Amar berkata, keputusan pemberian cuti kepada rakyat negeri ini adalah semata-mata bertujuan memberi kelebihan atau keistimewaan kepada para pengundi di kawasan tersebut menjalankan tanggungjawab mereka memilih calon yang benar-benar sesuai dilantik sebagai wakil rakyat di sana.

"Cuti atau tak cuti tak menentukan menang atau kalah. Kalau nak kalah buat hari cuti pun kalah juga.

"Cuma cara kita suburkan demokrasi dan beri peluang kepada rakyat untuk mengundi, tidak kira pengundi Pas atau Umno," katanya dipetik Sinar Harian.

Tegas Mohd Amar lagi, keputusan pemberian cuti tersebut disebabkan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan hari penamaan calon dan hari pengundian dibuat pada hari bekerja walaupun kerajaan negeri sudah memberi teguran agar ia diubah kepada hari cuti sebelum ini.

"Sebab itu Pas selalu menegur SPR, kalau nak tetapkan hari penamaan calon dan pengundian perlu mempertimbangkan hari cuti supaya mudahkan pengundi dan petugas pilihan raya jalankan tugas mereka.

"SPR patut mencetuskan semangat untuk orang mengundi, patut pilih hari cuti. Ini sengaja pilih hari tak cuti seolah-olah menghalang dan cuba untuk nafikan ruang pengundi menunaikan tugas mereka dalam sebuah negara demokrasi," katanya lagi.

Menurut Mohd Amar, tindakan SPR telah menyebabkan pihak kerajaan negeri membuat keputusan untuk memberi cuti kepada rakyat di Kelantan bagi memastikan jumlah peratusan keluar mengundi akan meningkat.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pemberian cuti semasa hari mengundi adalah satu perkara yang menjadi kebiasaan di negara ini.

"Ini bukan kali pertama. Kerajaan Pulau Pinang, kerajaan negeri lain pun pernah isytihar cuti pada hari mengundi yang jatuh pada hari bekerja.

"Secara tidak langsung, kita ini membantu tugas SPR dan fungsinya untuk menggalakkan ramai rakyat Malaysia keluar mengundi," tegas Takiyuddin lagi.-KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor