PAS Hina Segala Jasa Arwah Untuk Rakyat Pengkalan Kubor?

PAS mendakwa bahawa tiada apa yang boleh dibanggakan dengan Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar semasa berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pengkalan Kubor ketika hayatnya sebelum ini.

Timbalan Yang di-Pertua PAS Tumpat, Mohamad Zaki Ibrahim menegaskan bahawa tiada sebarang legasi atau jasa Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar sepanjang khidmat arwah di DUN tersebut yang perlu dikenang pengundi di situ.

"Kalau kita tengok tiga penggal, dari tahun 2004 hingga ke hari ini, ada satu nikmat pembangunan yang perlu kita bangga.

"Selama 3 penggal.. tidak ada legasi apa," katanya dalam satu sesi sidang akhbar, semalam.

Mohd Zaki menganggap Maktab Rendah Sains Mara yang terbina hasil jasa arwah Noor Zahidi sebagai satu perkara biasa yang tidak perlu dibanggakan sama sekali dan hanyalah fenomena "biasa".

Katanya, bekas ADUN Barisan Nasional (BN) yang meninggal dunia itu juga gagal untuk menyelesaikan masalah banjir di Pengkalan Kubor.

Pun begitu, Mohd Zaki tidak pula menyelar Kerajaan PAS Kelantan yang mentadbir negeri Serambi Mekah itu sejak tahun 1990'an lagi dan masih gagal menyelesaikan masalah banjir di negeri itu selain mengharapkan bantuan dari Kerajaan Pusat pada setiap musim tengkujuh.

Mohd Zaki dalam kenyataan media itu mungkin terlupa mengenai legasi Allahyarham yang sebelum ini pernah membawa dana membangunkan sekolah pondok di DUN tersebut yang dinikmati rakyat di kawasan itu semasa hayatnya.

Difahamkan pengundi tempatan yang tinggal di negeri Cik Siti Wan Kembang itu sememangnya enggan lagi berada di bawah pentadbiran PAS, namun para pengundi yang tinggal atau berhijrah ke negeri lain masih tidak memahami kehendak orang ramai di negeri tersebut.

Timbul desas-desus mendakwa PKR sengaja memberikan kembali kuota bertanding di DUN Pengkalan Kubor kepada PAS untuk memujuk para penyokongnya yang berang terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dianggap "menghina" parti itu berhubung isu krisis MB Selangor yang masih belum selesai hingga kini.

Selain itu, timbul juga dakwaan bahawa PKR yakin bahawa PAS akan gagal dalam Pilihanraya Kecil (PRK) kali ini.

Malah desas-desus di peringkat akar umbi juga bertiup kencang mengatakan PKR dan rakan sekutunya, DAP, akan memboikot atau bertindak sabotaj terhadap PAS dalam diam pada PRK Pengkalan Kubor kali ini. -KedahNews.com