PAS Kedah Sanjung Perjuangan Arwah Ustaz Lotfi

ALOR SETAR - Jasa Mohd Lotfi Ariffin terhadap parti tetap dikenang dan beliau akan diingati sebagai seorang pendakwah dan pendidik, ketika menjawat Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Kedah sebelum berhijrah ke Syria untuk berjihad dan gugur di negara bergolak itu.

Setiausaha Dewan Ulama Pas Kedah, Ahmad Yahaya berkata, Mohd Lotfi antara pemimpin lama dalam parti itu sejak menyertai Dewan Pemuda dan pernah dilantik sebagai Exco Pemuda Pas Kedah.

“Nasihat, tarbiyah dan tausiyah Allahyarham akan kami ingati, beliau juga antara pendakwah yang aktif di negeri ini,” katanya.

Menurutnya, sejak awal tahun, ketika menghubungi Mohd Lotfi atau juga dipanggil Ustaz Mad untuk terlibat dalam penganjuran program parti, beliau seringkali berada di luar negara khususnya, Timur Tengah dan seakan memberi ‘isyarat’, sedang merancang sesuatu yang di luar dugaan.

“Saya masih ingat, pada 7 Februari menghubungi Allahyarham untuk meminta mewakili Dewan Ulama Negeri ke Mesyuarat Ulama Pas Pusat di Kuala Lumpur, jawapan yang saya terima ketika itu, dia di Istanbul,” katanya.

Ahmad menghubungi Mohd Lotfi sekali lagi pada 23 Februari, meminta menguruskan program Lajnah Tarbiyah Ulama namun jawapan diterima, berada di Syria.

“Jawapannya sangat ringkas tetapi sudah memberi maksud yang jelas. Sanubari saya seolah dapat membaca fikirannya, bahawa Ustaz Mad  sudah melangkah jauh meninggalkan Malaysia, meninggalkan keluarga dan keindahan hidup untuk mencari syahid,” katanya.

Menurutnya, itulah kenangan terakhir bersama Mohd Lotfi dan selepas itu mereka terputus hubungan dan perkembangannya hanya diketahui melalui Facebook dan akhbar.

Ahmad yang juga Pengerusi Pertubuhan Hal Ehwal Sekolah Agama Kedah (Hesa), berkata, sebagai menghargai sumbangan Mohd Lotfi, Hesa akan menjual buku karya Allahyarham, bertajuk ‘Siasah Syar’iyyah’ pada Muktamar Pas Pusat, yang berlangsung pada 18-20 September ini.

“Separuh daripada hasil jualan buku itu kelak akan disalurkan kepada keluarga Mohd Lotfi,” katanya.

Pada 19 April, Mohd Lotfi menghantar surat kepada Ketua Dewan Ulama Pas Pusat dan Dewan Ulama Pas Kedah, memaklumkan beliau meletak jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Dewan Ulama Pas Pusat dan Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Kedah.

Mohd Lotfi yang berasal dari Kampung Tembak, Kuala Ketil, Baling memuat naik status itu menerusi Facebook miliknya, selepas Jawatankuasa Pas Pusat yang bermesyuarat 11 Mei lalu memutuskan memecat keahliannya, setelah menyiasat dakwaan penglibatannya di Syria menyertai peperangan di sana melalui kumpulan yang dikatakan berjihad.

Bagaimana pun, ketika itu, status keahlian Mohd Lotfi masih menjadi tanda tanya berikutan ahli Pas kawasan Baling itu tidak melakukan perkara yang melanggar perlembagaan parti.

Pemergian Mohd Lotfi ke Syria pada 31 Januari lalu hanya diketahui parti itu selepas beliau mengemas kini status Facebook, memaklumkan berada di negara bergolak itu.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan enam anak. -Sinar Harian