PAS Mahu Letak Ahli "Jaga" Peti Undi Di Lokap?


Tumpat – Timbalan Pengarah Operasi Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor, Mohd Zaki Ibrahim sedia menghantar ahli mereka sekiranya dibenarkan oleh pihak polis bagi menjaga peti undi ketika pilihan raya berlangsung pada 25 September ini.

Mohd Zaki berkata, PAS bersedia meletakkan ahlinya bagi menjamin keselamatan peti undi supaya tidak berlaku sebarang penipuan dalam pengiraan undi nanti

"Ketika Pilihan raya Umum ke-13, kami meminta untuk menjaga peti undi di lokap, tetapi tidak dibenarkan pihak polis.

"Walau pun petugas kami terpaksa bermalam dalam lokap bagi menjaga peti undi, kami bersedia melakukannya.

“Bagaimananpun permintaan berkenaan ditolak kerana kata mereka lokap hanya untuk menempatkan orang bersalah sahaja," kata dipetik Harakah Daily.

Sementara itu, peti undi bagi pengundian awal yang dijalankan semalam telah diletakkan di dalam lokap Balai Polis Daerah Tumpat.

Dalam pengundiaan awal semalam,  seramai 109 anggota polis yang layak mengundi telah membuang undi di Dewan Delima ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat.

Dalam perkembangan lain, Penasihat Operasi PRK Pengkalan Kubor, Datuk Takiyuddin Hassan berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat menetapkan hari pengundian dijalankan pada waktu cuti umum di masa hadapan.

“Hari untuk penamaan calon tidak kisah dibuat pada hari cuti atau hari bekerja sekali pun,” ujarnya lagi. – KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor