Pas Mahu Pengundi Pengkalan Kubor Tolak BN Kerana Royalti Minyak


Tumpat – Timbalan Presiden Royalti Minyak Kelantan (R), Abdul Shakur Sharrie mengesa pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri Pengkalan  Kubor (N01) menolak calon Barisan Nasional (BN) kerana mendakwa kerajaan pusat masih gagal mejelaskan hutang kepada negeri berkenaan berhubung isu royalti minyak menerusi syarikat Petronas.

Abdul Shakur berkata, dia  mencabar Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi  menyiasat jumlah akaun Petronas bagi mengetahui jumlah sebenar wang royalti yang sepatutnya diterima oleh knegeri berkenaan tetapi ia diserahkan kepada kerajaan pusat.

Menurut Abdul Shakur lagi, pihaknya pernah menyuarakan cadangan agar isu royalti minyak dibincangkan secara terbuka dengan memanggil beberapa orang saksi serta mendapatkan dokumen mengenai pengeluaran yang dilakukan Petronas tetapi telah ditolak oleh mahkamah.

“Kami pernah mendesak Jawatankuasa Kira-Kira Wang Kerajaan menyiasat akaun Petronas. Kami juga telah menyerahkan beratus surat kepada Perdana Menteri dan Petronas.

“Jika Timbalan Perdana Menteri benar-benar ikhlas, usulkan atau sekurang-kurangnya menyokong secara terbuka usaha meletakkan Petronas di bawah tanggungjawab parlimen bagi membolehkan akaunnya dibentang dan dibahaskan setiap wakil rakyat,” katanya dipetik Harakah Daily.

Tambah Abdul Shakur lagi, kerajaan pusat seolah-olah merampas hak petroleum yang dimiliki oleh Kelantan dengan menghapuskan Undang-Undang Darurat yang turut menyebabkan keseluruhan wilayah laut termasuk Terengganu, Sabah dan Sarawak menjadi milik mutlak kerajaan.

Selain itu, dia turut mempertikaikan Akta 750 yang dilihat sebagai tidak sah untuk dikuatkuasakan kerana ia tidak diluluskan Dewan  Undangan Negeri serta belum  mendapat perkenan Majlis Rajka-Raja Melayu.

Justeru itu, pihaknya sedang menjalankan beberapa kempen agar kesemua negeri yang mempunyai sumber petroleum supaya menolak Akta 750 yang telah diluluskan oleh kerajaan pusat sebelum ini.


“Akta ini tidak sah. Oleh itu pengundi di Pengkalan Kubor hendaklah menolak calon parti yang mengkhianati rakyat Kelantan,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Akta Darurat telah mansuhkan dan diganti dengan Akta 750 Akta Wilayah Laut 2012 yang telah diluluskan oleh parlimen pada tahun 2012.

Sementara itu, tindakan yang dilakukan oleh pertubuhan R dilihat sebagai satu strategi PAS bagi mendapatkan undi penduduk di kawasan Pengkalan Kubor yang sebelum ini dikuasai oleh calon BN.


Merujuk kepada kenyataan Muhyiddin sebelum ini, dia mencabar pihak kerajaan PAS Kelantan mengeluarkan semua bukti-bukti yang mendakwa kerajaan pusat mempunyai hutang dengan negeri berkenaan berhubung isu tersebut. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor