"PAS Pengkhianat!", Kata DAP

Walaupun Menteri Besar, Azmin Ali, baharu saja selesai mengangkat sumpah memegang jawatan nombor satu di negeri Selangor, DAP tetap terus selamba menyerang PAS yang dilabel sebagai PENGKHIANAT Pakatan Rakyat.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng dalam kenyataannya semalam dilihat sengaja mengecam PAS yang membuat keputusan supaya empat Exco Kerajaan Negeri Selangor dari parti Islam itu agar tidak melepaskan jawatan masing-masing sebagaimana Exco dari PKR dan DAP sebelum ini.

"DAP berasa kesal dengan pengkhianatan empat orang Exco PAS terhadap prinsip solidariti dan demokrasi serta kegagalan untuk setia bersama enam lagi Exco DAP dan PKR yang dipecat secara tidak adil oleh bekas MB yang kehilangan sokongan majoriti DUN Selangor," kata Guan Eng menghentam PAS.

Empat exco terbabit yang dimaksudkan DAP itu ialah Iskandar Abdul Samad, Dr Ahmad Yunus Hairi, Dr Halimah Ali dan Sallehen Mukhyi yang mematuhi arahan PAS Pusat untuk tidak meletakkan jawatan selepas Exco lain dipecat pada 12 Ogos lalu.

PAS dijangka akan bersikap pasif seperti biasa dengan "tunduk" dan "enggan" menyerang balas terhadap penghinaan yang dilemparkan DAP tersebut sebagaimana yang berlaku sebelum ini.

Pada Muktamar PAS ke-60 baru-baru ini, parti Islam itu hanya mampu melabel dua ADUNnya sendiri, Shaari Sungib dan Hasnul Baharudin sebagai "pengkhianat" apabila membelakangkan arahan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sebaliknya lebih "wala" pada PKR dan DAP.

Menggelar PAS sebagai pengkhianat kali ini bukanlah serangan kali pertama seumpamanya dibuat DAP terhadap parti itu.

Sebelum ini, Guan Eng pernah melabel PAS sebagai pengkhianat apabila cuba bekerjasama dengan UMNO bagi mengkaji secara teliti perlaksanaan hukum hudud di Malaysia.

"Jika PAS terus bekerjasama dengan UMNO untuk melaksanakan hudud, nampaknya parti itu memang cukup mudah untuk tertipu dan lebih teruk mengkhianati pengundi bukan Islam.

"PAS juga melakukan percanggahan kerana terus berada dalam pakatan tetapi pada masa sama menjalin kerjasama dengan UMNO melaksanakan hudud", kata Guan Eng pada Mei lalu.

DAP dan rakan sekutunya, PKR, sebelum ini juga dilihat berjaya menundukkan PAS apabila parti Islam itu memutuskan untuk menghapuskan perjuangan menubuhkan "Negara Islam" yang digantikan dengan agenda penubuhan "Negara Kebajikan".

PAS cuba memujuk para penyokongnya dengan mendakwa bahawa "Negara Islam" wujud di bawah "Negara Kebajikan".

Alasan tersebut telah mendapat kritikan hebat dari golongan pro-ulama di dalam parti itu yang mendakwa agenda tersebut sebagai "songsang" dan menegaskan bahawa "Negara Kebajikan" sebetulnya terletak di bawah "Negara Islam", bertentangan dengan alasan yang diberikan parti itu.

Pimpinan PAS kini sedang "retak menanti belah" apabila golongan profesional yang pro-Anwar di dalam parti itu bertindak menyerang golongan pro-ulama yang bingkas memperbetul haluan PAS yang tersasar dari perjuangan asal sejak bergabung dengan DAP dan PKR. -KedahNews.com