PAS Samakan DAP Dengan UMNO?

haris

Georgetown - Perwakilan PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim mendakwa DAP  seolah-olah meniru dasar pembangunan yang dilakukan oleh UMNO dalam memajukan negeri berkenaan.

Kenyataan tersebut dilakukan oleh Iszuree ketika berucap dalam siding Muktamar PAS di Batu Pahat baru-baru ini.

Tindakan Iszuree jelas mendapat kencaman daripada Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Bukit Bendera yang menyifatkan ia sebagai satu tuduhan yang tidak berasas.

Hariszuan berkata, dia amat terkejut dengan kenyataan yang diberikan oleh pewakilan PAS yang menuduh kerajaan pimpinan DAP tanpa sebarang fakta yang sahih.

“Saya terkejut dan kesal dengan serangan Iszuree yang mendakwa Kerajaan Negeri gagal menyelia dasar perumahan yang pro-rakyat dalam menangani masalah perumahan.

“Pulau Pinang merupakan negeri pertama di negara ini yang mewujudkan dana RM500 juta untuk Tabung Perumahan Awam dan Mampu Milik bagi membina 20,000 unit rumah oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

“Jumlah ini merupakan yang terbesar di negara ini. Kerajaan Negeri juga tidak menerima sebarang pembiayaan daripada Kerajaan Persekutuan untuk perumahan awam atau mampu milik,” katanya dipetik RoketKini.com.

Menurut Hariszuan lagi, rancangan kerajaan negeri mengenakan larangan jualan perumahan mampu milik dalam tempoh 5 tahun manakala tempoh 10 tahun bagi perumahan awan merupakan satu dasar baru.

Jelas Hariszuan lagi, pihak kerajaan negeri telah mengehadkan pembelian hartanah oleh warga asing kepada harga RM1 juta sejak tahun 2012 bagi memberi ruang kepada golongan berpendapatan rendah memiliki rumah dengan harga yang berpatutan.

“Sebagai langkah tambahan, Kerajaan Negeri mencadangkan levi sebanyak 3 peratus pada harga urus niaga hartanah di Pulau Pinang oleh warga asing bermula 2014.

“Dasar baru juga menetapkan bahawa rumah mampu milik (bawah RM400,000 di kawasan pulau) hanya boleh dibeli orang yang diluluskan Kerajaan Negeri.

“Semua pembelian rumah kos rendah, sederhana rendah dan mampu milik turut dikenakan moratorium penjualan semula selama 10 tahun (kos rendah dan sederhana rendah) dan 5 tahun (mampu milik), bagi memastikan spekulasi hartanah tidak berlaku,” tambahnya lagi

Jelasnya lagi, sekiranya perwakilan PAS itu tidak menarik balik kenyataan tersebut ia boleh dianggap sebagai satu virus kepada Pakatan Rakyat kerana mereka berada  bawah satu bumbung.

“Iszuree dengan semberono memfitnah Kerajaan Negeri mengamalkan dasar pembangunan ala BN.

“Saya tiada masalah jika dia mahu mencari populariti, namun jangan sesekali mengkhianati persahabatan antara parti dalam Pakatan Rakyat di Pulau Pinang dengan tidak berkata benar,” ujar Hariszuan lagi. – KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor