PAS Terengganu Haramkan Ahli Sertai PasMa

Badan Perhubungan Pas Terengganu menegaskan bahawa mana-mana ahli parti di negeri itu diharamkan sama sekali dari menyertai atau melibatkan diri dengan Persatuan Umah Sejahtera Malaysia (Pasma) yang baru ditubuhkan baru-baru ini.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid dalam kenyataannya semalam memberitahu bahawa pengharaman tersebut dikuatkuasakan serta-merta dan ditujukan khas kepada seluruh badan organisasi PAS di negeri tersebut.

"Larangan ini termasuklah menjadi ahli PasMa, menubuhkan PasMa, dan menghadiri apa-apa program anjuran PasMa.

"Ahli Pas juga dilarang sama sekali untuk memberi  kerjasama kepada program anjuran Pasma dalam apa jua bentuk sekalipun," tambah Muhyidin melalui kenyataan yang dipetik dari Sinar Harian.

Pada 7 September lalu,  Naib Presiden PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan telah memberi kenyataan rasmi parti itu dengan tidak membenarkan anggotanya untuk menyertai PasMa sekiranya ia merupakan sebuah pertubuhan parti politik.

Kata Tuan Ibrahim, PAS juga tidak menggalakkan mana-mana ahlinya untuk menyertai pertubuhan itu meskipun pertubuhan itu merupakan sebuah pertubuhan kebajikan memandangkan dalam parti Islam itu sudah mempunyai lajnah kebajikannya sendiri.

"Kita teliti NGO tersebut dan setakat ini kita tahu pendaftaran adalah bagi tujuan kebajikan bukan parti politik.

"Tapi tidak ada keperluan ahli Pas untuk sertai Pasma kerana kita sendiri pun ada lajnah kebajikan sendiri," katanya dalam satu kenyataan kepada media sebelum ini.

Sementara itu,  Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika mengulas mengenai sama ada penubuhan PasMa akan menjurus kepada penubuhan sebuah parti politik atau tidak, beliau menyerahkan keputusan tersebut kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS).

"Ini amalan negara demokrasi, terpulang kepada Pendaftaran Pertubuhan sama ada nak terima atau tidak. Itu biasalah dalam negara demokrasi ini, ada parti-parti politik," kata Presiden PAS yang kini dikatakan menerima tekanan hebat dari kumpulan pro-Anwar di dalam partinya.

Desas-desus mewarnai dunia politik negara mendakwa penubuhan PasMa didalangi sebahagian besar golongan liberal profesional pro-Anwar di dalam PAS yang berselindung di sebalik nama "NGO Kebajikan" untuk meluahkan ketidakpuasan hati pada kepimpinan Abdul Hadi.  -KedahNews.com