PAS Tolak Tawaran Azmin?


PAS Selangor masih berdiam diri dalam memberi keputusan mengenai tawaran Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali bagi jawatan Timbalan Speaker di negeri berkenaan.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad menerusi kenyataan di laman Facebooknya (FB) berkata, sehingga kini PAS masih berbincang dengan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung tawaran tersebut.

"Pada pertemuan Exco dan mantan Exco PAS dengan Presiden malam, tadi belum diputuskan sama ada PAS akan terima Timbalan Speaker," kenyataanya dipetik Harakah Daily menerusi laman Facebook.

Dalam satu kenyataan Azmin baru-baru ini, kerajaan negeri Selangor ingin menawarkan jawatan Timbalan Speaker kepada PAS setelah penyadangnya, Nik Nazmi Nik Ahmad dari Parti Keadilan Rakyat telah dilantik sebagai EXCO di negeri berkenaan.

Selain itu, Azmin turut mengumumkan senarai EXCO Selangor yang membariskan empat orang Ahli Undangan Negeri (ADUN) dari PKR, tiga DAP dan tiga dari PAS.

Tindakan Azmin memberi tawaran kepada PAS bagi jawatan Timbalan Speaker dilihat sebagai satu alasan kerana PAS sebelum ini mempunyai empat orang EXCO dibawah pentadbiran bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu, Pakatan Rakyat (PR) berjaya meneruskan pentadbiran mereka di negeri berkenaan selama dua penggal berturut-turut dengan PAS selaku parti komponen di dalam PR menyumbangkan lebih banyak kerusi berbanding DAP dan PKR. – KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor