Meskipun PAS tidak mampu lagi menyembunyikan konflik kronik yang berlaku di antara parti itu dengan DAP dan PKR, PAS Kedah masih lagi cuba "cover line" enggan menghentam rakan-rakan sekutunya yang dilihat seolah-olah memboikot PRK Pengkalan Kubor yang berakhir baru-baru ini.
Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh dalam kenyataannya berkata, kurangnya bilangan petugas PKR dan DAP yang menyaksikan PAS tewas teruk di tangan Barisan Nasional itu berpunca dari kekurangan jentera untuk dihantar ke sana.
Ismail mendakwa kurangnya bilangan jentera dari PKR dan DAP itu bukanlah kerana tidak menyokong pencalonan PAS di PRK tersebut, namun menurutnya ia adalah disebabkan kawasan tersebut disifatkan sebagai "kawasan Melayu".
Katanya, berstatuskan kawasan Melayu, maka Pengkalan Kubor lebih sinonim dan lebih dekat dengan PAS berbanding PKR dan DAP.
"Tidak ada isu pun, kita kalah sebab ada dakwaan kata pemimpin DAP dan PKR tak bersama kita berkempen di situ.
"Kawasan itu banyak Melayu, Pas lebih dekat dengan mereka, lebih faham
mereka, kalau kalah pun mungkin faktor lain seperti manipulasi media BN
dan sebagainya.
"Kekalahan pada PRK adalah perkara biasa terjadi walaupun kadang-kadang
kita menang atau BN menang. Tapi keputusan boleh berubah bergantung
kepada cara kita berkempen,” katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.
Keputusan PRK Dun Pengkalan Kubor
menyaksikan calon BN, Mat Razi Mat Ail menewaskan calon PAS, Wan Rosdi
Wan Ibrahim, dengan jumlah majoriti yang lebih besar berbanding yang diperoleh BN pada PRU ke-13 yang lalu.
Ramai penganalisis politik percaya bahawa PAS telah diboikot kepimpinan PKR dan DAP ketika PRK Pengkalan Kubor berlangsung ekoran dilaporkan tiada kepimpinan tertinggi dari kedua parti itu yang hadir pada Muktamar PAS ke-60 di Johor beberapa hari sebelum hari pengundian.
Hubungan di antara PAS dengan PKR dan DAP semakin retak apabila mereka bertelagah berkenaan gerakan Langkah Kajang serta penggulingan Tan Sri Khalid Ibrahim dari jawatan Menteri Besar Selangor bagi digantikan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Meskipun isteri kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu gagal menjadi Menteri Besar, dan kini Timbalannya, Azmin Ali dilantik ke jawatan tersebut, pergaduhan hangat di antara PAS dengan dua rakan sekutunya itu masih belum reda, malah semakin meruncing.
Belum reda bergaduh dengan PKR, PAS kini sedang berapi-api bertegang urat dengan DAP dan saling menghentam di antara satu sama lain secara terbuka melalui media-media tempatan.
Meskipun begitu, beberapa pemimpin utama PAS Kedah dilihat lebih condong memihak pada PKR dan DAP apabila salah seorang ADUNnya bertindak menjadi Presiden PasMa yang keras mengkritik kepimpinan PAS Pusat dan Majlis Syura yang disokong golongan ulama parti. -KedahNews.com