Menurut sumber yang bertanggungjawab memuat naik klip video berdurasi 1.22 minit yang dikenali sebagai Ali Akmal, lelaki yang dibelasah di khalayak ramai itu layak dikategorikan sebagai orang kurang siuman.
Ali Akmal turut mendakwa bahawa lelaki yang membelasah pemuda itu merupakan seorang pegawai polis.
Bagaimanapun, pihak KedahNews.com tidak dapat memastikan sama ada lelaki berkenaan benar-benar seorang pegawai polis atau tidak ekoran tiada sebarang bukti yang sahih.
Dalam kejadian yang berlaku di sebuah gerai yang terletak di pekan Kota Sarang Semut itu, pegawai polis itu mendakwa pemuda kurang siuman itu sering melakukan pelbagai masalah di sekitar pekan tersebut.
Lantaran kelakuan gila pemuda tersebut, berkemungkinan pegawai polis itu hilang sabar dan bertindak melakukan sesuatu yang "tidak diingini" itu.
"Hari-hari masalah hang jaaaa.." marah lelaki berkenaan pada pemuda tersebut sambil menampar dan memberikan beberapa kali "hentakan lutut" padanya.
Bagaimanapun, orang ramai yang ada di tempat kejadian meminta pegawai polis berkenaan supaya bersabar dan tidak terus membelasah pemuda itu memandangkan dia tidak siuman serta tidak wajar diperlaku sedemikian. -KedahNews.com