Peguam PAS "Tampar" Hadi Awang?

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerima tamparan hebat dari peguam PAS apabila dikatakan tidak mempunyai sebarang kuasa veto untuk bersuara bagi membuat apa-apa keputusan mengenai pencalonan Menteri Besar Selangor.

Zulhazmi Sharif dalam satu sesi soal jawab menegaskan bahawa segala keputusan yang melibatkan kepentingan parti mesti dibincang melalui mesyuarat dan perlu diputuskan bersama para pemimpin PAS yang lain.

"Presiden tidak mempunyai kuasa tersebut. Pas ialah parti politik berpelembagaan dan yang penting dalam Pas ialah konsep syura.

“Dalam hal ini (isu Menteri Besar Selangor), Presiden tidak boleh buat keputusan sendiri sebab Perlembagaan Pas tidak sebut bahawa Presiden mempunyai kuasa pemutus.

"Presiden mesti bincang terlebih dahulu melalui Majlis Syura iaitu majlis mesyuarat. Dia (Presiden) tidak boleh buat keputusan melulu,” katanya melalui majlis soal jawab “Kemelut MB Selangor: Mampukah PR Bertahan?" yang dianjur oleh  Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma).

Menurut sumber, Zulhazmi berkata demikian ekoran keengganan PAS dan Abdul Hadi untuk akur terhadap pencalonan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Tegas peguam dari Kedah itu lagi, Presiden adalah salah seorang daripada AJK PAS Pusat, namun beliau memegang jawatan sebagai Presiden dalam parti tersebut.

Justeru itu katanya, Presiden harus menghormati semua AJK PAS Pusat yang lain dengan melakukan perbincangan dengan mereka terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan melibatkan kepentingan parti.
 
“...Dia boleh ada kuasa pemutus, tetapi di dalam mesyuarat,” jelasnya yang dipetik dari Sinar Harian baru-baru ini. -KedahNews.com